Taska boleh operasi dengan ketetapan


shadow

Taska merupakan antara perniagaan yang dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei ini dengan beberapa peraturan ketat, termasuk penjarakan sosial antara kanak-kanak dan menjalani proses disinfeksi dua kali sehari.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), semua pekerja perlu memakai topeng muka dan mana-mana individu yang masuk ke kawasan taska perlu memberikan suhu badan diambil.

Sesiapa yang bersuhu badan 37.5 celcius ke atas tidak dibenarkan masuk.

Semua pekerja mesti dilatih dalam soal kebersihan dan keselamatan, dan pemilik perlu membekalkan pembersih tangan di premis.

“(Pemilik perlu) memastikan garis panduan amalan terbaik penjarakan sosial disediakan, seperti tanda jarak satu meter di lantai khususnya di ruang makan dan ruang tidur,” kata MKN.

Semua kanak-kanak, ibu bapa dan pekerja perlu mengisi Borang Akuan Pengisytiharan Kesihatan sebelum taska beroperasi semula.

Taska juga diarahkan untuk memberitahu ibu bapa bahawa mereka perlu memandikan anak sebelum menghantarnya, serta mengelakkan kontak terus dengan warga emas di rumah setelah pulang.

Jika ada pekerja atau kanak-kanak menunjukkan gejala Covid-19, dia tidak boleh berada dalam kawasan taska.

Jika ada yang disahkan positif wabak itu, taska perlu ditutup serta-merta dan pejabat kesihatan perlu dihubungi untuk mendapatkan nasihat, serta menjalankan disinfeksi.

Tinggalkan komen anda