Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) bukan merupakan satu penyelesaian jangka panjang untuk menangani pandemik global Covid-19.
“Pakar perubatan menjangkakan vaksin Covid-19 belum diperolehi. Pakar-pakar perubatan mengatakan Covid-19 akan berada di sekitar kita sekurang-kurangnya dalam masa dua tahun. Bermakna bahayanya sentiasa ada di sekeliling kita.
“Tak mungkin oleh kerana Covid-19 berada di sekitar kita selama dua tahun, maka PKP akan diteruskan selama dua tahun,” katanya.
Merujuk Taiwan sebagai contoh, Ismail berkata kadar jangkitan dan kematian yang rendah direkodkan walaupun negara itu tidak melaksanakan perintah berkurung.
“(Taiwan) Tak pernah membuat PKP tapi mereka negara paling rendah dalam dunia dari segi kes kematian, hanya 6 kes kematian. Jumlah kes juga antara paling rendah.
“Disiplin rakyat mereka yang menentukan bahawa mereka selamat dari Covid-19.
“Walaupun tak ada lockdown tetapi mereka salah satu (negara) yang paling baik dalam mengawal Covid-19 kerana disiplin rakyat mereka yang menjaga kepentingan keselamatan diri masing-masing.
“Kita perlu ambil kawalan kendiri atau self regulation untuk memastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat sekitar,” kata menteri kanan kluster keselamatan itu semasa sidang akhbar harian Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Tinggalkan komen anda