Tak boleh panggil tukang gunting ke rumah semasa PKPB


shadow

Perkhidmatan menggunting rambut – sama ada di kedai atau premis lain termasuk di rumah – masih tidak dibenarkan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ini.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat hari ini perkhidmatan berkenaan masih termasuk dalam senarai yang dilarang.

“Jadi, tak bolehlah, sama ada ke rumah ke, ke pejabat atau ke kedai gunting – sama sahaja, tak boleh,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Terdahulu ahli parlimen Bera itu ditanya mengenai laporan media yang mendakwa ada orang kenamaan memanggil tukang gunting datang ke rumah mereka ketika PKP atau PKPB masih berkuat kuasa.

Menurut The Malay Mail antara pelanggan tukang gunting berkenaan ialah menteri dan pegawai polis.

Menurut laporan sama, beberapa tukang gunting di sekitar Kuala Lumpur juga kini mula memberikan perkhidmatannya dari rumah ke rumah.

Kata Ismail Sabri laporan berkenaan setakat ini tidak dapat disahkan dan beliau sendiri baru mendengar mengenainya hari ini.

“Jadi saya tak boleh nak beri jawapan ya atau tidak. Tetapi SOP-nya sama,” katanya.

Tinggalkan komen anda