‘Tak ada salam-salam, tak ada cium-cium’ semasa raya nanti


shadow

Utamakan keselamatan dan kesihatan warga emas atau orang tua semasa menyambut Aidilfitri tidak lama lagi – itu pesanan yang ditekankan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Ketika 1 Syawal bakal menjelang 12 hari lagi, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa menekankan aspek yang digariskan oleh prosedur operasi standard dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Misalnya, kata beliau, penjarakan sosial, sering menggunakan cecair nyah kuman dan tidak menggalakkan perhimpunan atau pelawat datang ke rumah.

“Jadi tak ada salam-salam, tak ada cium-cium, dan kita boleh amalkan guna hand sanitiser,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham juga mengingatkan jika ada pelawat datang ke rumah pastikan semua pihak mengutamakan perlindungan terhadap golongan tua dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Amalkan penggunaan hand sanitiser sebelum masuk ke rumah dan amalkan penjarakan sosial,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan data yang ada kadar kematian pesakit Covid-19 – seramai 109 setakat ini – lebih 50 peratus membabitkan individu yang berusia 60 tahun atau lebih.

“Kalau mereka (golongan warga emas) ada kencing manis, darah tinggi atau penyakit NCD (penyakit tidak berjangkit), jumlah kematian ialah 85 peratus dan ke atas.

“Kalau kita tahu data-data tersebut, pastikan kita lindungi warga emas,” katanya.

Terdahulu beliau ditanya mengenai rasional kerajaan menyarankan hanya seramai 20 orang untuk berada dalam rumah pada satu-satu masa pada sambutan hari raya nanti.

Menjelaskan hal itu Noor Hisham berkata, angka 20 berkenaan adalah secara relatif dan bergantung kepada keadaan sesebuah rumah.

Jika rumah berkenaan kecil atau sempit, jumlah 20 orang itu adalah tidak wajar. Malah, katanya, jumlah berkenaan juga mungkin dicapai hanya dengan melibatkan anggota keluarga terdekat dengan anak dan cucu sesebuah keluarga.

“Apa yg penting, dalam tempoh tersebut adalah penjarakan sosial,” katanya.

Tinggalkan komen anda