Siapa lindungi Farhash, soal bekas pembantu Anwar berhubung kelewatan siasatan kes serangan


shadow

Bekas pembantu penyelidik Anwar Ibrahim yang menuduh pemimpin PKR itu dan setiausaha politiknya melakukan jenayah menerusi laporan polis berasingan kecewa dengan kelewatan berterusan oleh pihak berkuasa berhubung siasatan kes itu.

Yusoff Rawther juga mempersoalkan adakah Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang dituduh menyerangnya tahun lalu sehingga mendatangkan kecederaan di bahunya, menikmati “perlindungan”, mengatakan Farhash masih “bebas” walaupun ada siasatan bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

“Adakah dia kebal dan mengatasi undang-undang?” soal Yusoff ketika dihubungi mengenai status kes tersebut.

Pada 12 Mei, FMT melaporkan polis menyerahkan kertas siasatan kes serangan itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), 3 bulan selepas ia dibuka semula.

Polis melancarkan siasatan baru pada Februari, beberapa hari sebelum tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan yang menyaksikan parti Anwar, iaitu PKR, dan sekutunya, hilang kuasa pemerintahan.

Yusoff dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis pada 20 Februari. Namun, seminggu kemudian, Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan, mengatakan beliau berundur kerana PH yang melantiknya tidak lagi berkuasa.

Farhash, ketua PKR Perak, berulang kali menolak dakwaan beliau menyerang Yusoff, yang secara berasingan menuduh Anwar melakukan serangan seksual, di pejabatnya pada 16 Mei 2019.

Laporan perubatan dari Hospital Pantai menyatakan Yusoff mengalami kecederaan dan koyakan pada bahu yang memerlukan pembedahan bernilai RM40,000.

Yusoff, yang merupakan cucu aktivis pengguna Pulau Pinang SM Mohamed Idris, juga mengemukakan tuntutan saman terhadap Farhash pada September, menuntut pampasan bagi kecederaan dialaminya.

Yusoff berharap pengganti Thomas, Peguam Negara Idrus Harun, akan bertindak “tanpa gentar atau pilih kasih”.

“Sudah lebih 1 tahun sejak saya membuat laporan polis, dan memberikan semua bukti. Mengapa tidak ada tindakan yang diambil?” soalnya.

Katanya, dia menulis surat kepada Idrus dan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan awal bulan ini, untuk membuka kembali kes serangan dan juga kes serangan seksual melibatkan Anwar.

Laporan polis dibuat Yusoff terhadap Anwar pada akhir tahun lalu membawa kepada siasatan jenayah oleh Bukit Aman bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.

AGC bagaimanapun berkata tidak akan meneruskan kes terhadap Anwar kerana terdapat “percanggahan fakta material”.

Dalam suratnya kepada Idrus, Yusoff berkata dia bingung dengan keputusan itu, mengatakan kesnya tidak berbeza dengan kes melibatkan individu terkenal seperti penerbit filem Harvey Wienstein dan pelawak Bill Cosby.

“Dalam semua kes ini, keterangan yang dikemukakan hanya testimoni saksi sahaja dan tertuduh disabitkan oleh mahkamah.

“Salah laku jenis ini yang hampir selalunya dilakukan dalam keadaan sulit dan saya juga difahamkan pada lazimnya tidak memerlukan keterangan ‘corroborative’ untuk penentuan oleh mahkamah.

“Jika batasan setinggi ini diletak, saya percaya kes-kes mangsa gangguan seksual tidak akan dapat diteruskan dan mereka terpaksa derita secara senyap,” kata Yusoff kepada Idrus dalam suratnya.

Sementara itu, Yusoff juga meminta tindakan terhadap seorang pegawai polis yang didakwa mengugutnya semasa menjalankan siasatan tuduhannya terhadap Farhash.

“Siapa yang bertanggungjawab untuk itu?” soalnya.

Yusoff mendakwa seorang pegawai Cawangan Khas meluru ke dalam bilik di balai polis Seapark pada September tahun lalu, mengambil failnya dari pegawai penyiasat, dan memberitahunya: “Siapa suruh ‘hang’ buat saman sivil, kan polis ‘dok’ siasat?”

“Dia kemudian keluar dari bilik itu dan saya terdengar dia bercakap dengan telefon, ‘Jap, dia baru sampai, tengah tengok fail dia sekarang’,” kata Yusoff kepada FMT pada Januari.

Tinggalkan komen anda