Rujuk TNB, Suruhanjaya Tenaga jika tak puas hati dengan bil elektrik


shadow

Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan bil elektrik mereka boleh merujuk dan mengajukan perkara itu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Suruhanjaya Tenaga (ST), kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata pihaknya mengakui terdapat keluhan dan kekeliruan rakyat mengenai perkara itu setelah menerima bil elektrik masing-masing selepas TNB menyambung semula pembacaan meter secara fizikal sejak 15 Mei lalu.

Sehubungan itu, Shamsul Anuar berkata pihak kementerian dan TNB akan memberikan penjelasan lebih terperinci kepada rakyat bagi mengatasi kekeliruan tersebut.

“Pihak TNB akan menambah kemudahan Kedai Tenaga mulai 1 Jun supaya rakyat boleh berhubung untuk dapatkan maklumat tentang perkara ini,” katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan Program Solar Berskala Besar oleh Industri Elektrik Malaysia Bagi Menarik Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui (LSS@MenTARI) di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rungutan orang ramai yang menerima bil elektrik tinggi menerusi pembacaan meter secara fizikal selepas ia dihentikan sementara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac.

Shamsul Anuar berkata pihak TNB tidak membuat pengiraan bil elektrik sewenang-wenangnya sebaliknya ia dilakukan setelah mendapat kelulusan ST selaku badan pengawal selia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ST Razib Dawood berkata pengiraan oleh pihak TNB adalah mengikut tertib ditetapkan dan tidak wujud isu syarikat utiliti tersebut sengaja melambatkan bacaan.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai yang tidak berpuas hati boleh merujuk kepada TNB atau pihaknya dan jika terdapat kesilapan, penyelarasan bil boleh dibuat untuk bacaan meter pada masa akan datang.

– Bernama

Tinggalkan komen anda