Raya dengan keluarga terdekat dalam satu negeri sahaja, kata PM


shadow

AKTIVITI menziarahi keluarga semasa perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai hanya dihadkan di kalangan keluarga dan jiran dekat dalam negeri sama, kata Muhyiddin Yassin.

Perhimpunan yang dibenarkan itu pula tidak boleh melebihi 20 orang pada satu satu masa, katanya ketika mengumumkan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketiga-tiga perayaan penting tersebut akan berlangsung dalam tempoh PKPB yang dilanjutkan sehingga 9 Jun.

“Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya yang menambah setiap keluaga perlu mematuhi prosedur kesihatan yang ditetapkan semasa PKPB.

Ia termasuk penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti membasuh tangan dan hand sanitizer.

“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir,” katanya.

Tambahnya, walaupun PKPB yang dilanjutkan itu masih melarang perjalanan rentas negeri, kelonggaran akan diberikan kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja.

“Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang sudah tidak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan.

“Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga,” katanya.

Beliau juga memohon agar kerajaan negeri Sabah dan Sabah dapat memberi kelonggaran sama.

“Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan,” katanya.

Terdahulu beliau mengumumkan 94.4% daripada keseluruhan 1,178 mukim, bahagian, zon, subzon dan presint di seluruh negara kini dalam kategori hijau – tanpa sebarang kes Covid-19 dalam masa 14 hari.

Empat kawasan yang masih dalam zon merah kini mukim Batu di Gombak,  zon Batu dan Kampong Bharu di Kuala Lumpur dan mukim Pedas di Negeri Sembilan. 

Tinggalkan komen anda