‘PKPD dikuatkuasa jika perniagaan abai SOP hingga ada kes Covid-19’


shadow

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi peringatan agar perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan jika tidak ingin berdepan risiko dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) jika berlaku penularan Covid-19.

“Apa yang pasti mereka kena patuh pada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM). Kalau mereka tidak patuh, kita akan lihat tindakan (yang boleh diambil).

“Kalau ada penularan kes di satu kawasan atau lokaliti (seperti kilang), kita akan jalankan (kuatkuasakan) PKPD, iaitu kita akan tutup kawasan tersebut dan laksanakan saringan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, mereka di kawasan itu yang didapati positif Covid-19 akan diasingkan manakala kontak rapat mereka akan dikenakan kuarantin.

Katanya lagi, pemantauan dan penguatkuasaan untuk setiap sektor dan kawasan akan dibuat oleh pihak berkuasa dan kementerian yang bertanggungjawab.

Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya tentang perancangan KKM berkaitan perintah kawalan pergerakan (PKP) bersyarat yang akan berkuat kuasa 4 Mac ini.

Tinggalkan komen anda