PKP mulai longgar, Perikatan kembali ke kerusi panas, kata penganalisis


shadow

PENCAPAIAN Perikatan Nasional (PN) akan mula dipertikaikan sekali lagi apabila usaha membanteras koronavirus mula perlahan dan ekonomi yang berdepan ketidaktentuan mula beroperasi semula di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata penganalisis dan badan kaji selidik.

Ketika pentadbiran kerajaan yang baru berusia dua bulan itu bergelut untuk menghidupkan kembali ekonomi yang musnah akibat koronavirus, ia sekali lagi akan berdepan dengan pertikaian tentang sah atau tidak perikatan yang memegang kuasa tetapi bukan menerusi pilihan raya umum, kata mereka.

Mereka berkata sentimen umum terhadap gabungan tidak rasmi itu, yang diterima baik ketika peringkat awal proses membanteras Covid-19, akan berkurangan bergantung kepada berapa teruk dan lamanya tempoh kemelesetan ekonomi akan berlaku.

Pada masa ini juga, pentadbiran itu beberapa kali menimbulkan keadaan memalukan yang dibuat oleh menterinya, walaupun baru dua bulan saja di Putrajaya.

Dan walaupun pemimpin kanannya bertegas mengatakan ia tidak “main politik”, tindakan PN walaupun ketika PKP mendedahkan bahawa mereka sentiasa memikirkan cara untuk mengukuhkan kedudukan.

“Pertama sekali, jika ia yakin dengan kedudukannya, perdana menteri berkenaan tidak akan mengakui bahawa kerajaannya tidak dipilih oleh pengundi,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal.

Pada 27 Mac, ketika menyampaikan ucapan secara langsung untuk mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion, Muhyiddin Yassin berkata: “Kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih, tapi saya mahu anda tahu kerajaan ini ambil berat tentang anda.”

Difahamkan Muhyiddin berkata demikian kepada rakyat Malaysia yang terkejut dengan keputusannya menarik keluar partinya Bersatu daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hujung Februari, hingga mencetuskan kemusnahannya.

Ahli Parlimen Bersatu kemudian bergabung dengan 10 ahli Parlimen yang keluar PKR untuk membentuk kerajaan bersama Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Perdana menteri kata begitu kerana beliau mahu meraih simpati dan sokongan daripada semua rakyat Malaysia ketika kesahan kerajaannya masih dipersoalkan,” kata Azlan.

Malah ketika ia sibuk membanteras koronavirus pun, pentadbiran Muhyiddin giat melantik ahli Parlimen daripada Umno dan PAS untuk memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan, badan berkandun dan jawatan duta bertaraf menteri, kata Azlan.

“Dan juga, jika PN betul-betul rasa selamat, kenapa adakan sesi Dewan Rakyat sehari saja,” katanya.

“Kenapa tidak adakan persidangan Dewan Rakyat seperti sepatutnya? Jika gabungan itu betul-betul ada sokongan majoriti ahli Parlimen seperti dikatakan, mereka patut biar Dewan Rakyat bersidang bagi tempoh lebih lama.”

Pemimpin PH dan kumpulan persatuan sivil mengecam PN kerana mengadakan sesi sehari Dewan Rakyat iaitu pada 18 Mei.

Dipercayai bahawa sesi sehari itu diadakan bagi mengelak PH membentangkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri. 

Tinggalkan komen anda