Penyewa terhimpit bayar sewa rumah lepas hilang pendapatan


shadow

Selepas hilang pendapatan kerana tidak dapat bekerja dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), ada di kalangan rakyat yang terhimpit untuk membayar sewa rumah yang perlu dilangsaikan secara penuh.

Dalam keadaan tidak bergaji, makan-minum anak dan isteri masih perlu dicari, keperluan seharian masih perlu dibeli, sebahagian penyewa buntu mancari jalan melangsaikan sewa tempat keluarga berteduh, yang langsung tidak dikurangkan tuan rumah.

Bagi suri rumah, Norain Salleh, 28, keadaan suaminya yang hilang punca pendapatan sejak PKP berkuat kuasa 18 Mac lalu menyebabkan keluarga mereka berharap pada duit Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sumbangan kerajaan.

Namun, setelah wang itu diperolehi, ia harus pula digunakan untuk melangsaikan bayaran sewa rumah mereka di Kapar, Selangor dalam bayaran penuh iaitu RM400 sebulan.

Bukan tidak pernah cuba berunding dengan tuan rumah, tapi menurut Norain, apabila memaklumkan kepada tuan rumah mengenai moratorium enam bulan yang diberikan kerajaan kepada pinjaman perumahan, tuan rumah bertegas untuk sewa tetap dibayar penuh.

“Lepas dapat BPN itu, saya terus masukkan kepada tuan rumah. Bulan Mac dan April memang tak dapat kurang,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini, sambil turut mengakui yang dia sudah mempunyai sewa tertunggak sebelum ini.

Katanya, suaminya bekerja dengan adik iparnya berniaga buah-buahan, namun, adik iparnya yang kebetulan pulang ke Kelantan pada cuti sekolah lalu, akhirnya terkandas di sana kerana pelaksanaan PKP, menyebabkan suaminya turut tidak dapat bekerja.

Buat masa ini, dia yang mempunyai tiga anak kecil itu – berusia empat tahun, dua tahun, dan lima bulan – terpaksa mengambil langkah sebaik mungkin untuk berjimat, seperti menggunakan lampin pakai buang hanya pada waktu malam, sedangkan pada waktu siang menggunakan kain lampin yang boleh dibasuh.

“Saya harap, kalau tak boleh bagi tunggakan pun, bagi kurang separuh, (supaya) kita bolehlah cari alternatif lain.

“Bagi ringan sikit. Lagi RM200 (baki jika sewa dikurangkan separuh) boleh beri barang keperluan anak,” katanya yang turut berterima kasih kepada jiran yang ada membantu berkongsi makanan dengan keluarganya.

Pada 24 Mac, dilaporkan bahawa semua bank dikehendaki menangguhkan bayaran balik hutang peminjam untuk semua pinjaman dan bayaran kewangan kecuali untuk baki kad kredit, selama enam bulan bermula 1 April, termasuk pinjaman perumahan.

Biarpun hal itu mendorong banyak tuan tanah untuk memberikan penangguhan sewa atau pengurangan bayaran sewa kepada penyewa, masih ada penyewa yang tersepit seperti Norain.

Penghuni PPR lega

Keadaan pastilah lebih baik buat penyewa kediaman projek perumahan rakyat (PPR), kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac mengumumkan pengecualian pembayaran sewa PPR dipanjangkan dari sebulan kepada enam bulan, yang akan memberi manfaat kepada golongan B40 di bandar.

Susilawati Abdullah Murshit.

Bagi suri rumah, Susilawati Abdullah Murshit, 55 yang menyewa di PPR Hiliran Ampang, penangguhan enam bulan itu disambut dengan penuh rasa syukur memandangkan duit sewa sebanyak RM124 sebulan itu boleh digunakan untuk keperluan lain.

“Orang kata, terlepas segala beban, lapang sangat-sangat. Bersyukur dengan kerajaan kita ini,” katanya ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini di PPR Hiliran Ampang.

Dia yang tinggal bersama empat daripada tujuh anaknya, dan suaminya yang tidak bekerja, kini memulakan perniagaan kuih kecil-kecilan secara dalam talian bagi mendapatkan pendapatan sampingan, selain bantuan bulanan Baitulmal dan bantuan makanan PKP yang diterima.

Seorang penyelia syarikat pembinaan, Nazri Sukah, 52, yang menyewa rumah pada kadar RM750 sebulan memberitahu Malaysiakini, dia kini bergantung pada bantuan beberapa pihak apabila hilang punca pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan, setelah diminta bercuti tanpa gaji.

Seperti Norain, Nazri yang menanggung isteri dan enam orang anak- paling tua berumur 21 tahun dan masih belajar- juga tidak mendapat pengurangan sewa rumah oleh tuan rumahnya untuk bulan Mac dan April.

“Ingatkan hari itu PKP dalam dua minggu sahaja. Kalau kita ada pendapatan sikit-sikit tak apa, ini langsung tak ada.

“Terbebanlah. Sebab kita pendapatan tak ada. Nak makan hari-hari. Anak-anak semua ada di rumah. Kalau bersambung sampai sebulan ke dua bulan lagi, memang kita tak tahu lah mana kita sumber lagi (mencari pendapatan),” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Norain yang tinggal di Taman Kosas, Ampang, berkata dia akan berterus-terang dengan tuan rumah sedikit masa lagi untuk meminta pengurangan sewa rumahnya, sekiranya PKP tidak menampakkan tanda untuk tamat.

Cuti tanpa gaji

Meskipun sering disuguhkan dengan moratorium pinjaman enam bulan oleh pihak bank, bagi tuan rumah pula, mereka berdepan masalah tersendiri untuk menangguhkan atau memberi pengurangan sewa, manakala moratorium bukanlah penyelesaian mutlak untuk semua perkara.

Bagi jurutera sektor awam, Nur Salihin Salahuddin, 30, yang menyewakan sebuah rumah pada kadar RM1,500 sebulan, dia hanya mampu memberikan penangguhan untuk bulan Mac dan April, manakala untuk bulan Mei, mahu tidak mahu, dia terpaksa mengutip semula sewa.

Katanya, hal ini kerana rumah itu dibeli menggunakan pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang tidak mendapat penangguhan seperti pinjaman bank swasta lain, dan bayarannya pula adalah sebanyak RM1,677.80 sebulan- lebih tinggi daripada kadar sewa yang dikenakan.

Lebih-lebih lagi, katanya, akibat terkesan dengan wabak Covid-19, ahli keluarganya yang lain semuanya hilang punca pendapatan gara-gara PKP kerana terpaksa bercuti tanpa gaji, dan kini bergantung padanya yang masih mendapat gaji sebagai penjawat awam.

“Tanggungan saya jadi sepuluh orang sekelip mata. Bayangkan nak hidup dengan gaji yang ada,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, dia faham pertikaian penyewa bahawa tuan rumah wajar memberi penangguhan bayaran sewa kerana telah mendapat moratorium pinjaman seperti diumumkan kerajaan, tetapi itu hanyalah daripada satu sudut pandang semata-mata.

“Kita tak tahu apa yang tuan rumah sedang tanggung buat masa ni. Diri sendiri mungkin ada pendapatan, tapi keluarga lain? Takkan tuan rumah tengok sahaja keluarga sendiri tak makan?

“Kalau terus bagi penangguhan, umpama tuan rumah tambah penyewa dalam senarai tanggungan dia. Wajarkah?

“Jadi, tuan rumah ada sebabnya sendiri kenapa terpaksa terus minta bayaran sewa,” tambahnya lagi.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan kenyataan bahawa dokumen tambahan diperlukan untuk penangguhan pembayaran sewa beli dan pembiayaan Islamik, meskipun pada 25 Mac membuat pengumuman bahawa moratorium itu adalah secara “automatik”.

Kata BNM, ia dibuat untuk menangani isu prosedur yang mempunyai kesan undang-undang kepada moratorium yang dilaksanakan sebagai memenuhi keperluan Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan syariah.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan bahawa keperluan dokumen tambahan itu akan membuka ruang untuk pihak bank mengenakan faedah tambahan terhadap pinjaman yang ditangguhkan.

Comments

  1. v.thilagavathy a/p vallaidon    

    Duit bpn masih dalam proses duir sewage. Rumah kalau tak bayar esok
    Kani anak beranak kena halau APA patut saya buat 731001065308

Tinggalkan komen anda