Mahkamah Tinggi hari ini melapangkan perbicaraan kes pengubahan wang haram dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes rasuah membabitkan projek tenaga solar bagi sekolah luar bandar di Sarawak yang dihadapinya.
Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan berpandangan, mahkamah perlu memberi keutamaan kepada perbicaraan kes projek solar yang sedang berlangsung terlebih dahulu sehingga selesai.
Beliau berkata, tarikh perbicaraan sebelum ini pada Mei tidak dapat dilangsungkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19 manakala tarikh seterusnya bermula 6 Julai ini.
“Paling baik ialah selesaikan kes solar itu dahulu dan melapangkan semua tarikh bicara (kes pengubahan wang haram),” katanya.
Mohamed Zaini menetapkan 30 Julai ini bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan baharu.
Dalam prosiding itu, Rosmah diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Ravin Kuman manakala Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn bertindak bagi pihak pendakwaan.
Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagi tuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rosmah juga didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab munasabah, yang bertentangan Seksyen 112 akta sama.
Tinggalkan komen anda