Penganggur toreh muka anak saudara dipenjara 3 bulan


shadow

Padah mengamuk sehingga menoreh pipi anak saudaranya menggunakan pisau, seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara 3 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap V Mathuria Veeran, 23, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, dengan menoreh rahang pipi kiri mangsa menggunakan senjata itu.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapnya pada 5 Feb.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Blok B, PPR Lembah Subang, Putra Damai, pada 12 tengah malam, 5 Feb lalu dakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana 2 daripada seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pemenjaraan, terhadap tertuduh mengambil kira kecederaan serius yang dialami mangsa.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak berkemampuan membayar denda, dan perlu menanggung isteri serta anak.

Difahamkan, pada hari kejadian, tertuduh pergi ke rumah bapanya di mana tertuduh mengamuk secara tiba-tiba, sebelum bertindak mencederakan anak saudaranya.

Tinggalkan komen anda