Pendakwaan mahu mulakan prosiding hina mahkamah pada Najib


shadow

Pihak pendakwaan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pihaknya berhasrat untuk memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung kenyataan yang dibuatnya dalam wawancara dengan Reuters.

Dalam wawancara yang diterbitkan pada 4 Mac, Najib mengatakan beliau menjangkakan keadaan semasa akan “lebih kondusif untuk perbicaraan yang adil”.

Kenyataan itu dibuat selepas kerajaan PH tumbang pada akhir Februari lalu dan digantikan dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Umno, iaitu partinya sendiri.

Ketika perbicaraan rasuah berkaitan 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadapnya disambung semula hari ini, ketua pendakwaan Gopal Sri Ram berkata kenyataan Najib itu membayangkan perbicaraan sebelum ini tidak dijalankan secara adil.

“Ini dakwaan yang sangat serius. Ini bermaksud mahkamah Yang Arif mempunyai keadaan perbicaraan yang tidak adil hingga berlakunya pertukaran kerajaan.

“Saya tidak mahu mengalihkan perhatian Yang Arif dalam perbicaraan ini. Saya mencadangkan prosiding menghina mahkamah dibuat terhadap terduduh kerana ia dakwaan yang sangat serius,” katanya.

Perbicaraan dibuat di depan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Najib berdepan dengan 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana berkaitan 1MDB berjumlah RM2.28 bilion

Dalam perkembangan lain, Gopal juga memberitahu mahkamah bahawa anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz telah menunjukkan kesediaan untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

“(Pendakwaan ingin menambahkan) Riza Aziz ke dalam daftar saksi dan dia sudah bersedia untuk memberikan keterangan kepada pihak pendakwaan.

“Kami akan memfailkan permohonan rasmi,” kata Sri Ram lagi.

Pada tahun lalu, Riza didakwa menggunakan dana berkaitan 1MDB untuk menerbitkan filem, termasuk The Wolf of Wall Street, melalui syarikatnya Red Granite Pictures.

Red Granite telah mencapai persetujuan dengan kerajaan Amerika Syarikat dengan bayaran berjumlah AS$60 juta (RM234 juta), sebagai pertukaran kepada aset Red Granite yang ingin dirampas oleh Jabatan Keadilan (DoJ) AS, melalui saman pelucutan sivil yang melibatkan 1MDB.

Wang itu kemudian dipulangkan kepada kerajaan Malaysia.

Riza turut berdepan pertuduhan limapengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.07 bilion), yang didakwa disalah guna daripada 1MDB.

Bagaimanapun pada 14 Mei lalu, satu persetujuan dicapai dengan pendakwaan dan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza.

Antara persetujuan itu ialah Riza mengembalikan aset di Amerika Syarikat dan Malaysia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kerajaan dijangka menerima semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta) hasil persetujuan itu.

Dalam persetujuan itu juga, kata SPRM, Riza dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan berdasarkan Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Keputusan terhadap Riza itu bagaimanapun telah mengundang kritikan di kalangan blok pembangkang. 

Tinggalkan komen anda