Pendaftaran PN perlu ambil kira kemelut dalaman Bersatu – Asyraf


shadow

Keputusan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi mengambil kira krisis dalaman Bersatu serta kemampuan parti itu untuk bertahan dalam PN, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Bagaimanapun ketua pemuda Umno itu berkata, Umno akan tetap mempertahankan kerajaan PN sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kerajaan berpaksikan Islam dan Bumiputera ini mampu “memulihkan kerosakan” ditinggalkan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, persoalan mengenai pendaftaran itu timbul ketika ini setelah pendirian rasmi Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Pemuda Armada Bersatu menolak Umno serta mahu kembali kepada PH.

“Keputusan untuk mendaftarkan PN secara rasmi juga perlu mengambil kira krisis dalaman Bersatu ketika ini yang mengundang persoalan sejauh mana Bersatu mampu bertahan dalam PN.

“Terutamanya setelah pendirian rasmi dikeluarkan pengerusi Bersatu sendiri dan sayap parti Armada yang menolak kerjasama dengan Umno dan mahu kembali kepada PH.

“Presiden Bersatu juga sedang dicabar anak kepada pengerusi Bersatu sendiri dalam pemilihan parti mereka akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, Malaysiakini memetik sumber melaporkan Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak cadangan agar parti itu menyertai gabungan PN secara rasmi.

Sumber terbabit berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat MT yang diadakan pada Isnin lalu dan ia bertujuan menjaga kedudukan dan kepentingan parti berkenaan.

“MT sebulat suara tolak, kita tak mahu jadi parti kecil. Kalau banyak parti dalam PN, Umno tak boleh nak jadi macam dalam BN sebelum ini.

“Sebelum mesyuarat MT, parti melalui mesyuarat biro politik juga sudah menolak cadangan ini.

“Kemudian mesyuarat pengerusi-pengerusi perhubungan Umno negeri juga menolaknya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Umno memeterai piagam Muafakat Nasional bersama PAS untuk mengabsahkan kerjasama secara rasmi pada akhir tahun lalu. 

Parti lain dalam BN pula dianggap menyertai gabungan berkenaan melalui Umno.

Tetap menyokong kerajaan PN

Asyraf berkata, tidak pernah timbul Umno mahu meninggalkan PN kerana rata-rata ahli dan rakyat keseluruhannya amat bersyukur dengan pembentukan kerajaan kini.

Katanya, kerajaan PN berjaya menyelamatkan negara daripada krisis politik yang meruncing sekali gus membebaskan negara daripada parti “chauvinis dan rasis” DAP serta “kerakusan” PKR.

Jelasnya komitmen Umno ketika menyokong pencalonan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu adalah bagi menyelamatkan negara daripada terus terbelenggu dengan krisis politik yang tercetus.

“Umno tetap teguh berpendirian mempertahankan kerajaan PN yang terbentuk hasil kerjasama Umno dan komponen BN , rakan Muafakat Nasional Umno iaitu PAS, dan Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS).

“Nama PN hanyalah satu istilah yang dicadangkan bagi menzahirkan suatu kerjasama yang terbentuk pada saat ketika pembentukan kerajaan baru pimpinan Muhyiddin setelah runtuhnya PH akibat peletakan jawatan secara rasmi Dr Mahathir pada 24 Februari 2020.

“PN sehingga hari ini tetap kekal sebagai sebuah gabungan ahli-ahli Parlimen yang mewakili dan membawa mandat parti-parti politik masing-masing dalam membentuk kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri Muhyiddin,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda