Pembangkang: Penukaran setiausaha Dewan Rakyat membimbangkan


shadow

Pakatan Harapan, Warisan dan sebahagian daripada Bersatu menyatakan rasa amat terkejut dan bimbang dengan pertukaran setiausaha Dewan Rakyat yang dibuat hanya lima hari sebelum parlimen bersidang.

Menurut mereka tindakan berkenaan boleh menimbulkan persepsi bahawa wujud campur tangan pihak tertentu dalam institusi parlimen yang sepatutnya bebas.

“Kami amat terkejut dengan pengumuman penukaran setiausaha Dewan Rakyat berkuat kuasa 13 Mei, iaitu hanya lima hari sebelum parlimen akan mendengar titah diraja.

“Tindakan ini amat membimbangkan kerana menimbulkan persepsi wujud pengaruh tidak wajar oleh pihak-pihak tertentu terhadap institusi parlimen,” kata kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Ia ditandatangani Presiden PKR merangkap ketua pembangkang, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad; dan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan mengenai status Ridhuan Rahmat sebagai setiausaha Dewan Rakyat yang baru dilantik menduduki jawatan berkenaan kurang dari tiga bulan lalu.

Riduan dilantik pada 22 Feb lalu, iaitu hanya beberapa hari sebelum Langkah Sheraton berlaku.

Sumber memberitahu Malaysiakini, Riduan hanya mengetahui bahawa beliau penukaran jawatannya semalam.

Kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, mengesahkan pegawai tadbir dan diplomatik di Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Nizam Mydin Bacha Mydin, dilantik menggantikan Riduan berkuat kuasa semalam.

Beberapa sebab didakwa melatari pertukaran jawatan Riduan, termasuk membabitkan usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin Yassin yang dikemukakan Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan sama Anwar, Mohamad, Mahathir, Lim dan Mohd Shafie berkata mereka akan meneruskan usaha mengembalikan mandat rakyat di sebalik tiadanya sidang penuh Dewan Rakyat kali ini.

Kata mereka, parlimen sepatutnya berfungsi sebagai wahana untuk suara rakyat, selain menjadi tiang seri demokrasi.

Namun katanya mereka arahan agar sidang Dewan Rakyat bersidang hanya untuk mendengar titah diraja atas alasan risiko Covid-19 amat dikesali dan mencukacitakan.

“Ini juga merupakan kali pertama dalam sejarah lebih enam dekad Parlimen Malaysia apabila sebuah majlis mesyuarat berjalan tanpa sidang penuh.

“Tindakan ini semestinya akan dilihat oleh rakyat sebagai keengganan perdana menteri berhadapan dengan ahli-ahli parlimen pembangkang,” katanya.

Tinggalkan komen anda