Enam lelaki ditahan kerana dipercayai memecah masuk sebuah kedai kopi di Jalan Ahmad Badawi, di sini semalam.
Mereka ditahan dalam beberapa serbuan polis sekitar sini selepas seorang peniaga berusia 23 tahun membuat aduan kedai disewa ibunya dipecah masuk jam 8 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa pergi ke kedai kopi terbabit selepas diberitahu seorang saksi yang ternampak sekumpulan lelaki masuk ke premisnya dan melarikan peralatan memasak.
“Mangsa memaklumkan bahawa dia lebih dua bulan tidak membuka premisnya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bagaimanapun, dia terus ke kedainya untuk membuat pemeriksaan sejurus diberitahu saksi ternampak ada orang memecah masuk premisnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Noorzainy berkata, pemeriksaan yang dijalankan mangsa mendapati peralatan memasak dan sejumlah wang tunai yang diletakkan di kaunter sudah hilang.
“Bertindak melalui laporan yang dibuat mangsa polis mengadakan beberapa serbuan di sekitar daerah ini dan menahan enam suspek berusia 32 hingga 55 tahun antara jam 7 hingga 10 pagi semalam.
“Dalam serbuan itu, polis turut menemui peralatan memasak yang dicuri suspek dan merampasnya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Jelasnya, dalam serbuan itu juga polis turut merampas sebuah motosikal, topi keledar dan pakaian yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan jenayahnya.
“Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tinggalkan komen anda