Nurul Zahid, suami akan dituduh di mahkamah Selasa


shadow

Anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur Selasa ini, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata proses pendakwaan dibuat selepas mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara.

“Selasa ini di Mahkamah Kuala Lumpur. Keputusan dibuat susulan arahan Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Nurul Hidayah, 41, memuat naik beberapa gambar di Instagram ketika dia dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad di pejabat masing-masing.

Perkara itu mendapat kecaman netizen yang mendakwa beliau dan suaminya melanggar PKP dan seolah-olah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai anak tokoh politik untuk membolehkannya berbuat demikian.

Walaupun foto dimuat naik Nurul Hidayah menunjukkan ada penjarakan sosial, namun netizen tetap mengkritik tindakan itu selain menuduhnya sebagai ‘kebal’ di sisi undang-undang.

Susulan kecaman yang diterima, Nurul Hidayah menerusi posting di Instagram menyelar tindakan netizen itu selain mencabar mereka membuat laporan polis terhadapnya.

Tinggalkan komen anda