Noor Hisham: Jangkitan tak bergejala bukan perkara biasa untuk virus


shadow

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyuarakan rasa bimbang terhadap penyebaran Covid-19 oleh penghidap bergejala, yang katanya, merupakan “berita yang tidak baik”.

“Peningkatan hasil kajian menunjukkan penghidap tidak bergejala nampaknya mempunyai beban virus (viral load) yang sama dengan kes bergejala.

“Maknanya, sama ada seseorang itu bergejala atau tidak, mereka membawa jumlah virus yang sama di dalam (tubuh) mereka.

“Ini menunjukkan bahawa jangkitan boleh berlaku, sama sahaja (kebarangkaliannya) baik daripada pesakit tak bergejala, atau pesakit yang memang nampak sakit,” kata Noor Hisham dalam hantaran Facebook.

Tambahnya, jangkitan oleh pesakit tak bergejala bukanlah biasa dan ia menunjukkan yang wabak itu lebih sukar dibendung berbanding penyakit lain kerana boleh menyebabkan lebih banyak jangkitan komuniti (community spread).

“Jangkitan tak bergejala ini agak di luar kebiasaan (uncommon) untuk virus, ia bukanlah petanda baik.

“Kalau kamu mampu menyebarkan virus walaupun kamu tidak bergejala, ia mampu menyebabkan lebih banyak jangkitan komuniti (jangkitan yang sumbernya tidak diketahui, atau hubungan kontaknya tidak dapat dikenal pasti).

“Nampaknya, semakin jelas bahawa Covid-19 ini lebih sukar untuk dibendung,” katanya lagi.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan jumlah kes Covid-19 sebanyak 6,819 kes dengan 1,356 kes aktif, 5,351 pemulihan dan 112 kematian.

Noor Hisham turut mengepil sekali satu artikel oleh University John Hopkins yang memetik kes di Iceland, apabila ujian dilakukan secara meluas melibatkan sehingga 5 peratus daripada populasi rakyat negara itu diuji untuk Covid-19.

Berdasarkan hasil daripada satu kajian makmal, sehingga 50 peratus yang dikesan menghidap Covid-19 tidak menunjukkan sebarang gejala.

Artikel itu memetik Gigi Gronvall yang merupakan seorang pakar imunologi dan sarjana kanan di Pusat Keselamatan Kesihatan Johns Hopkins dan seorang profesor madya di Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg, yang meramalkan “perubahan gaya hidup untuk semua orang, sehinggalah perlindungan penuh dicapai melalui vaksin”.

Semalam, Noor Hisham memberi amaran bahawa Malaysia perlu membimbing perubahan sikap masyarakat, untuk belajar hidup dengan Covid-19 bagi tempoh yang panjang, mungkin sehingga lima tahun.

“Kita menyesuaikan diri dalam normal baru untuk bertahan, dan patut pada SOP (prosedur operasi standard) yang diumumkan WHO semalam, ia mungkin satu perjalanan yang panjang (sehingga) lima tahun.

“(Ia) Satu cabaran yang tidak pernah kita hadapi dalam masa-masa yang sukar,” katanya di Twitter.

Tinggalkan komen anda