Muhyiddin tak terlibat ‘lepas tanpa bebas’ Riza Aziz – PMO


shadow

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak terlibat dalam keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz dalam kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Perkara itu dinyatakan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut PMO, perdana menteri tidak akan campur tangan dalam urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat keputusan berkaitan kes jenayah di negara ini, termasuk kes berprofil tinggi.

“Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam persetujuan melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz daripada pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

“Persetujuan tersebut dicapai oleh pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara,” kata PMO.

Pada 14 Mei lalu, mahkamah berkata persetujuan telah dicapai antara pihak Riza dan pendakwaan dalam lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam persetujuan itu, Riza dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta)

Jika Riza gagal untuk mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.

Keputusan itu mencetuskan kritikan sejumlah pihak, antaranya daripada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata beliau khuatir perkara sama akan turut berlaku dalam kes-kes akan datang.

Menegaskan beliau tidak mempersoalkan keputusan mahkamah dan percaya ia dibuat berasaskan undang-undang, Mahathir berkata ia menunjukkan undang-undang mungkin perlu dipinda.

Bagaimanapun Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berkata kerajaan berharap Mahathir tidak bersikap hipokrit dalam perkara itu dan menjelaskan keputusan itu dibuat oleh peguam negara dan dilaksanakan oleh timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes tersebut pada akhir 2019.

“Kerajaan PN akan terus bertindak mengikut undang-undang dan berpegang kepada prinsip kebebasan badan kehakiman dan proses perundangan yang sah,” kata Takiyuddin lagi.

Tinggalkan komen anda