‘Mahkamah tak sedar kehadiran pihak media’


shadow

Mahkamah hari ini memaklumkan tidak sedar akan kehadiran pihak media yang membuat liputan kes anak Presiden Umno, Nurulhidayah yang didakwa di Mahkmah Majistret Putrajaya, semalam.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia menafikan dakwaan bahawa media tidak dibenarkan membuat liputan kes berkenaan.

Sebaliknya kenyataan itu mendakwa bahawa mahkamah semalam agak sesak sehingga menjejaskan penjarakan sosial kerana terdapat kes lain selain membabitkan Nurulhidayah.

“Semakan telah dibuat oleh pejabat ini, dimaklumkan bahawa tiada larangan untuk pihak media membuat liputan pada hari tersebut.

“Mahkamah terbuka sesak dan tidak terdapat penjarakan sosial. Mahkamah telah mengarahkan agar orang awam yang berada di dalam mahkamah terbuka untuk keluar bagi memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi.

“Mahkamah juga tidak sedar akan kehadiran pihak media yang membuat liputan pada hari tersebut. Oleh itu tiada isu pihak media dihalang untuk membuat liputan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) hari ini menuntut penjelasan daripada badan kehakiman negara yang melarang wartawan dan petugas media membuat liputan di sidang mahkamah terbuka.

Merujuk, kes pendakwaan terhadap Nurulhidayah dan suaminya Saiful Nizam, semalam kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew berkata, larangan itu seolah-olah menunjukkan tidak ada kebebasan media di negara ini.

“NUJ membantah larangan seumpama ini yang boleh menunjukkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan kebebasan media yang sepatutnya apatah lagi ia berlaku di mahkamah yang menjadi lambang keadilan di negara ini,” katanya.

Semalam, Nurulhidayah dan Saiful mengaku bersalah atas tuduhan melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau dan suaminya dituduh melakukan perjalanan dari Kajang ke Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya pada jam 9 pagi 20 April, dan masing-masing didenda RM800 kerana kesalahan itu.

Undang-undang tersebut memperuntukkan denda maksimum RM1,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Keputusan mahkamah mengenakan denda sebanyak RM800 setiap seorang terhadap Nurulhidayah dan suaminya juga turut mendapat kecaman netizen.

Mereka membandingkan hukuman dijatuhkan terhadap seorang ibu tunggal minggu lepas yang dikenakan hukuman penjara 30 hari kerana melanggar PKP, digantikan dengan denda RM1,000 oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam selepas lapan hari di penjara.

“Mahkamah sentiasa memastikan akses kepada keadilan dilaksanakan kepada semua pihak termasuk pihak media.

“Berkenaan dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret terhadap Lisa Christina a/p Balan, Mahkamah Tinggi telah menggunakan kuasa semakannya dengan menggantikan hukuman penjara kepada denda,” kata kenyataan itu lagi.

Tinggalkan komen anda