Lebih 86 juta kanak-kanak diancam kemiskinan akibat COVID-19


shadow

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan lebih 86 juta kanak-kanak akan hidup dalam kemiskinan hujung tahun ini berikutan krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Menurut kajian bersama Pergerakan Save The Children dan Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF), jumlah kanak-kanak yang terjejas disebabkan kemiskinan di seluruh dunia adalah sebanyak 672 juta.

Ia menunjukkan peningkatan 15 peratus berbanding tahun lalu, menurut kedua-dua pertubuhan itu dalam satu kenyataan bersama semalam.

Kajian juga mendapati, kira-kira dua pertiga daripada kanak-kanak terbabit tinggal di Afrika sub-Sahara dan Asia Selatan, berdasarkan data penduduk membabitkan sekitar 100 negara.

Ketua Pergerakan Save The Children, Inger Ashing, berkata pandemik itu akan terus meningkat terutama di Eropah dan Asia Tengah berdasarkan unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Dengan tindakan segera dan tegas, kita mampu mencegah serta menyekat ancaman pandemik yang dihadapi negara termiskin serta kanak-kanak yang terbabit.

“Mereka ini amat terdedah kepada kebuluran dan kekurangan zat makanan yang berpotensi untuk terus membelenggu seumur hidup mereka,” katanya.

Kedua-dua pertubuhan itu menggesa kerajaan berkenaan segera memperluaskan sistem keselamatan sosial dan penyediaan makanan di sekolah untuk mengehadkan kesan pandemik yang terus berlanjutan itu. – AFP

Tinggalkan komen anda