Lebih 330,000 tandatangan petisyen bantah PKP dilonggar


shadow

Ratusan ribu orang menandatangani petisyen dalam talian bagi membantah keputusan kerajaan melonggarkan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketika berita ini ditulis, lebih 330,000 menandatangani petisyen itu di Change.org bagi meminta perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dibatalkan.

PKPB akan berkuat kuasa pada Isnin ini bagi membolehkan kebanyakan sektor perniagaan dibuka, termasuk restoran dan pusat jagaan harian. 

Beberapa aktiviti tertentu di luar rumah juga akan dibenarkan.

Bagaimanapun kesemua aktiviti yang dibenarkan di bawah PKPB masih perlu mematuhi penjarakan sosial.

Petisyen tersebut meminta kerajaan tidak mengulangi kesilapan beberapa negara lain.

“Kami tidak mahu barisan hadapan bertambah penat. Kami tidak mahu kerajaan tunduk kepada kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kesihatan sosial dan kesejahteraan pekerja,” tambahnya.

Petisyen berkenaan dilancarkan semalam.

Salah seorang penandatangan petisyen,  Lisa Mariana Md Sallehuddin berkata beliau tidak mahu berlaku gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

“Saya seorang jururawat dan saya bekerja keras dengan pasukan saya untuk melawan Covid-19. Saya tidak mahu negara saya menghadapi gelombang ketiga.

“Walaupun saya tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri, tetapi tidak mengapa! Kehidupan yang lebih sihat lebih penting bagi saya,” tulisnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mempertahankan PKPB dengan mengatakan perlu ada keseimbangan antara menjalani kehidupan dan mata pencarian.

Beliau berkata matlamat utama PKP adalah melandaikan lengkungan jangkitan dan kerajaan sudah berjaya melakukannya.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial untuk memastikan tiada lagi jangkitan baru Covid-19.

Tinggalkan komen anda