Lawan Covid-19 perlukan kebebasan media


shadow

Ahad lepas, 3 Mei adalah Hari Kebebasan Media Sedunia. Ternyata ia mempunyai makna tersendiri dalam zaman pandemik Covid-19. Ini kerana di samping pelbagai isu yang datang bersama pandemik ini, juga timbul soal penyembunyian maklumat pada waktu-waktu awal munculnya virus itu di Wuhan, China.

Amerika Syarikat pimpinan Presiden Donald Trump dan disokong sekutunya di Australia, Taiwan Jepun, Britain dan Jerman mendakwa berlaku penyembunyian maklumat oleh China hinggakan ia menghalang penyebaran virus ke seluruh dunia.

Sama ada memang berlaku penyembunyian maklumat atau tidak, tentunya ia memerlukan siasatan, dan itulah yang dituntut oleh Trump. Walaupun banyak pemerhati politik percaya apa yang mendorong Trump bertindak demikian adalah kerana beliau mahu menggunakan isu pandemik ini sebagai bahan kempen untuk pilihan raya presiden November ini.

Dari awal lagi apabila virus ini sampai ke Amerika, Trump mengambil pendekatan menyerang China. Pada mulanya beliau namakan Covid-19 sebagai “virus China”, kemudian dituduhnya China menyembunyikan maklumat awal ketika wabak ini meletus dan tidak berkongsi maklumat hinggakan negara lain lambat bertindak.

Kemudian didakwanya angka yang diberikan China itu tidak benar. Trump juga menuduh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berorientasikan China hinggakan beliau memotong dananya. Akhir sekali beliau menuduh virus ini adalah buatan manusia yang terlepas keluar dari makmal di Wuhan.

Apabila ditanya bukti, Trump kata, itulah apa yang dirasakannya. Cara presiden itu menangani pandemik ini sememangnya dari awal diliputi kontroversi. Tetapi apabila beliau berkata pesaingnya dari Parti Demokratik, Joe Biden sebagai lembut terhadap China, maka semakin jelas beliau mahu menggunakan sentimen anti-China sebagai bahan kempennya.

Malah ketika rakyat Amerika diancam nyawa dengan Covid-19, presiden itu kelihatan mahu menggunakan pandemik untuk kemenangan dalam pilihan raya presiden nanti. Kenyataan beliau tidak berasaskan nasihat pakar kesihatan dan saintis, tetapi dapat dipercayai didorong oleh cadangan pasukan kempen politiknya.

Dengan melihat beliau turut menggalakkan penyokongnya dari kalangan konservatif kanan melakukan demonstrasi perintah kurungan di negeri dipimpin gabenor Demokratik, maka ternyata Trump menggunakan sentimen populis untuk meraih undi dalam pilihan raya akan datang.

Jadi sungguhpun dengan apa yang dilakukan Trump itu adalah kerana motif politik, banyak pihak di dunia mempercayai Amerika mengenai tuduhannya terhadap China. Negara itu melakukan pelbagai perkara menjelaskan apa yang berlaku. Melalui rangkaian media miliknya seperti televisyen CGTN dan lain-lain, China meyakinkan dunia bahawa tiada berlaku penyembunyian maklumat. Walaupun pada awalnya ada kes amaran oleh seorang doktor yang dikenakan tindakan polis tetapi kejadian itu sudah ditangani. Beijing juga membetulkan angka-angkanya. Bukan saja WHO menyokongnya tetapi banyak negara dan pihak lain menyebelahi China.

Tetapi keraguan terhadap China terus berlaku. Ini kerana banyak pihak di dunia tidak percaya China. Bukanlah mereka memiliki sentimen anti-China atau mempunyai kepentingan politik seperti Taiwan dan penduduk Hong Kong tetapi mereka tidak mempercayai media China.

Walaupun China mempunyai banyak media. Suratkhabar dan majalah pun masih ada. Rangkaian radio dan televisyen di peringkat antarabangsa. Pelbagai platform dalam alam maya, pelbagai bahasa pula. Malah kandungannya bermutu dengan wartawan yang terlatih dan versatil. Tetapi tanpa kebebasan media, mereka pada keseluruhannya tidak dipercayai oleh dunia.

Bukanlah ia bermakna semua laporan media China itu tidak betul, tetapi ada perkara yang bila dikaitkan dengan kepentingan penguasa, pasti maklumatnya dikawal. Begitu juga dengan kandungan dalam media Barat bukanlah semuanya pasti betul. Cuma ada banyak keragaman maklumat dengan kebebasan media sememangnya menjadi prinsip. Walaupun setiap media tentunya mempunyai kecenderungan masing-masing mengikut apa yang ditetapkan pemilik dan editor mereka. Maka di Amerika, terdapat juga media pro-Demokratik atau pro-Republikan. Malah rangkaian televisyen seperti Fox News adalah pro-Trump.

Tetapi umumnya dunia masih kurang mempercayai media China berbanding pada media Barat. Maka walaupun media China menceritakan sesuatu yang betul, dan Barat melaporkan yang salah, banyak orang lebih yakin pada media Barat. Ini kerana soal prinsip kebebasan media.

Ini kerana kebebasan media berkait dengan demokrasi. Walaupun demokrasi Barat bukanlah sempurna, dan ia boleh memberi ruang pada sosok seperti Trump tetapi ia tetap berjalan dan berkesan. Sementara kebebasan media pula adalah salah satu tonggak sistem demokrasi kontemporari, iaitu beserta dengan kepelbagaian parti politik.

Di sinilah letaknya masalah dengan China. Walaupun mungkin ia berjaya menghasilkan seorang pemimpin yang bagus seperti Presiden Xi Jinping, iaitu lebih baik daripada Trump, atau ia dapat mewujudkan perkembangan ekonomi hebat, yang boleh menyaingi Amerika tetapi ketiadaan kebebasan media akan sentiasa berpotensi menjejaskan negara itu.

Kawalan media ini pula adalah sebahagian daripada sistem politik komunis yang diamalkan China. Sememangnya sistem politik komunis China sudah berubah dan jauh berbeza daripada asasnya ketika ia mula ditubuhkan pada 1947 oleh Mao Zedong tetapi dari segi kawalan media, adalah dikesan mereka tidak berubah.

Sistem asas komunis yang dipelopori oleh Soviet Union pada 1917 sememangnya meletakkan media di bawah penguasaan Parti Komunis dan kerajaan Di Soviet Union, akhbar mereka, Pravda yang bermakna kebenaran dan Izvestia yang bermaksud berita menyebarkan pembohongan dan propaganda parti dan kerajaan. Namun akhirnya Soviet tumbang juga.

Kini negara pimpinan komunis iaitu China, Korea Utara, Vietnam, Cuba dan Laos masih mengawal medianya. Maka tentu akhirnya dunia, dan juga rakyat sendiri tidak mempercayainya. Inilah apa yang ditanggung oleh China dalam hal pandemik kali ini.

Tetapi lebih berat lagi ialah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan media tetapi dalam amalannya, kerajaan dan masyarakat tidak dapat menerima kebebasan media. Mereka mengenakan tekanan supaya pemberita tidak keluar daripada kehendak kerajaan. Maka pengamal media pula memahaminya dan menapis sendiri (self-censorship).

Satu lagi cabaran media hari ini ialah apabila pemberita kurang perlindungan jika mereka mahu mengamalkan kebebasan, lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang tidak menghargainya.

Kalau dahulu, pemberita bekerja dengan syarikat media besar yang berpengaruh dan mempunyai struktur kuat bagi melindungi petugasnya. Tetapi dengan keruntuhan media cetak yang besar, penggantinya yang kecil dan pelbagai ragam dalam bentuk media digital tidak cukup kukuh untuk mempertahankan petugasnya dalam mengamalkan kebebasan media.

China sebenarnya boleh membuka struktur medianya untuk bersifat bebas. Kalau negara itu boleh membuka ekonominya walaupun kuasa masih dipegang parti komunis, mereka juga boleh membuka ruang media mereka. Dengan kebebasan media, mereka bukan saja akan lebih dipercayai pada masa akan datang, tetapi juga memperkasakan masyarakat dan selanjutnya meningkatkan wibawa struktur politik negara.

Jika media di China bebas, Amerika tidak akan dapat membuat tuduhan secara melulu, dan dipercayai oleh negara lain. Tetapi Amerika sendiri pun bukan boleh dipercayai sangat. Kalau mereka boleh mengada-adakan cerita seperti yang berlaku di Iraq, kewibawaannya juga sudah luntur.

Apa bezanya tuduhan palsu bahawa Saddam Hussein mempunyai senjata pemusnahan senjata besar-besaran (WMD) dengan dakwaan Covid-19 terlepas daripada makmal China? Kredibiliti Amerka pun rapuh walaupun mereka mengamalkan kebebasan media. Apatah lagi dengan China yang terang-terang tidak menikmati kebebasan media.

Tinggalkan komen anda