Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau kawasan yang sebelum ini berada di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), kata ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah.
“Walaupun PKPD di kawasan itu telah ditamatkan, kami akan terus memantau kawasan-kawasan tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham sebelum itu ditanya mengenai rancangan KKM susulan kes-kes baru Covid-19 yang dilaporkan di kawasan seperti Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Noor Hisham mendedahkan bahawa setakat tengah hari tadi, dua kes baru dikesan di Selangor Mansion sementara Malayan Mansion mencatatkan satu kes.
Menurut Noor Hisham, kes baru itu adalah dari ujian yang dilakukan dua hari lalu.
“Di kawasan di mana PKPD telah tamat, hasil ujian positif diterima dari ujian yang kami lakukan dua hari yang lalu. Hasil ujian itu diterima selepas jam 12 tengah hari semalam,” tambahnya.
Noor Hisham sebelum itu ditanya mengenai alasan keputusan kerajaan menamatkan PKPD ketika pihak berkuasa kesihatan masih menemui kes baru di kawasan tersebut.
Petang ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan menamatkan PKPD di kebanyakan kawasan, kecuali beberapa kawasan di Selayang.
Beliau memberitahu sidang media bahawa PKPD Menara City One, Selangor Mansion, Malayan Mansion dan kawasan sekitar Masjid India sudah ditamatkan semalam, sementara PKPD di Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah, sebuah sekolah agama di Sungai Lui, Hulu Langat , akan ditamatkan esok.
Dua lokasi di Selayang, iaitu Pusat Bandar Baru Utara (berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur) dan Selayang Baru, menyaksikan beberapa kawasan di bawah PKPD akan dilanjutkan di bawah perintah itu hingga 12 Mei.
Menurut Noor Hisham hari ini, kluster Pasar Borong KL dan Pusat Bandar Baru Utara juga mencatatkan peningkatan 21 kes baru setakat tengah hari tadi.
Ia termasuk 17 kes yang dikesan di luar kawasan.
Difahamkan, kes-kes di luar melibatkan peniaga dari pasar lain yang dijangkiti Covid-19 ketika mereka mengunjungi Pasar Borong KL untuk mendapatkan bekalan.
Setakat ini, kluster pasar telah merebak ke dua pasar di Petaling Jaya dan pasar basah di Bahau, Negeri Sembilan.
Media belum dimaklumkan jika ada lebih banyak pasar atau sub-kluster yang dikenal pasti oleh KKM hingga kini.
Dengan peningkatan 21 kes baru, jumlah kes kumulatif kluster itu kini berjumlah 160, termasuk 79 di luar kawasan.
Daripada jumlah itu, 106 pesakit adalah warga asing, termasuk satu melibatkan kematian.
Tinggalkan komen anda