Kes Riza Aziz: Tommy Thomas setuju representasi secara prinsip


shadow

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, secara prinsip bersetuju dengan cadangan representasi bagi mengkaji semula pertuduhan berhubung pengubahan wang haram terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram selepas berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Latheefa Koya, turut mencadangkan supaya cadangan dalam representasi berkenaan diterima oleh SPRM.

“Saya dinasihatkan bahawa mantan Peguam Negara setelah meneliti surat representasi ini, melalui satu minit bertarikh 19 November 2019, memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan turut menyatakan berdasarkan cadangan yang dinyatakan di atas, beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi tersebut.

“Setelah ditaklimatkan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan perkara ini, saya bersependapat dengan pandangan mantan Peguam Negara sebagaimana yang ditaklimatkan kepada saya dan bersetuju untuk menerima tawaran Riza Aziz tertakluk kepada pematuhan yang ketat terhadap semua terma dan syarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idrus menjelaskan, sejak pertuduhan difailkan di mahkamah, Riza mengemukakan beberapa representasi ke Jabatan Peguam Negara melalui peguam caranya, Tetuan Scivetti & Associates.

Katanya, pada 18 November tahun lalu, peguam cara Riza menghantar satu surat representasi memohon supaya semua pertuduhan ke atas Riza dikaji semula.

Menerusi reprensetasi itu, katanya, antaranya mencadangkan supaya Riza menyerahkan haknya ke atas tiga hartanah yang disita oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) yang mana Riza perlu memberi kerjasama mengembalikan harta terbabit atau nilainya kepada kerajaan Malaysia.

Hartanah itu adalah satu unit banglo di Beverly Hills, California; seunit pangsapuri di New York dan seunit rumah bandar di London.

Riza juga bersetuju supaya wang yang dirampas daripadanya yang menjadi hal perkara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia dan membayar sejumlah kompaun selaras dengan peruntukan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Mengulas lanjut, Idrus berkata, pada 16 April lalu, SPRM membalas surat peguam Riza yang secara asasnya menyatakan bahawa Pendakwa Raya bersedia memohon satu perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan tertakluk kepada Riza mengambil langkah untuk memastikan semua wang dan harta yang disita dikembalikan kepada kerajaan Malaysia dan seterusnya membayar kompaun dikenakan.

“Pada 21 April lalu, SPRM menulis kepada pihak peguam cara mengarahkan Riza melepaskan hak, hak milik, dan kepentingannya ke atas satu lagi aset yang dikenali sebagai “Metropolis Poster” iaitu sebuah poster tiga helai berwarna litograf berbingkai ciptaan seorang pelukis dari Jerman bernama Heinz Schulz-Neudamm untuk filem senyap bertajuk “Metropolis” yang telah diterbitkan pada tahun 1927.

“Pada 13 Mei lalu, SPRM sekali lagi menulis kepada pihak peguam cara mengarahkan Riza untuk memindahkan sejumlah AS$14,087,072.76 (RM61,302,701.84) yang berada di dalam satu akaun escrow di Huntington National Bank di Amerika Syarikat kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Idrus berkata, dengan perkiraan itu, kerajaan dijangka menerima kembali sejumlah AS$108 juta (RM469.98 juta) untuk dikreditkan ke Akaun Amanah Pemulihan Aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia juga adalah tambahan kepada AS$57,036,688.68 (RM248,206,506.75) yang dilucuthak sebelum April tahun lalu daripada Red Granite Pictures.

Media sebelum ini melaporkan Riza dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, Tommy dalam satu kenyataan menafikan beliau terbabit dalam isu melepaskan tanpa membebaskan Riza daripada pertuduhan 1MDB.

Katanya, dakwaan SPRM bahawa beliau yang membuat pertimbangan dan bersetuju melepaskan kes anak tiri Najib adalah tidak benar.

Tinggalkan komen anda