Kecelaruan PKPB akibat tiada kesepakatan negeri – pusat, Kit Siang


shadow

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata ketiadaan kata sepakat ketika mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) antara kerajaan negeri dan pusat berhubung sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula punca kecelaruan semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan sejak semalam.

Malah katanya, adalah jelas “tangan kanan tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kiri.”

Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, bahawa kerajaan negeri kemungkinan berdepan tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak industri jika ekonomi tidak dibuka semula di bawah PKPB.

“Mesyuarat kedua ketua menteri dan menteri besar seharusnya diadakan sebelum PKP ditarik dan PKPB dilaksanakan pada 4 Mei.

“Inilah yang Azmin perlu lakukan sekarang, daripada mengeluarkan kenyataan ugutan mengambil tindakan undang-undang seperti malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Azmin selaku menteri kanan ekonomi berkata keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang.

Katanya, jika kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, kerajaan-kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.

Sebelum ini adalah dilaporkan, enam negeri tidak akan membuka semula sektor ekonomi masing-masing pada 4 Mei dan akan meneruskan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Negeri-negeri berkenaan adalah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut mempersoalkan kenyataan Azmin mengenai tindakan saman terhadap negeri yang enggan membuka semula ekonomi mereka.

Pengarah komunikasi Amanah itu yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu ugutan, memberitahu supaya kata sepakat mengenai perkara tersebut perlu dicapai melalui perbincangan bersama.

“Adakah ini sebahagian dari ‘the new normal’?

“Kerajaan pusat mengugut kerajaan negeri. Zaman pintu belakang atau “tebuk atap”, budaya tata-kelola yang ‘baharu’?

“Duduk bersama bincang baik-baik. Fahami sebab-sebab keengganan, cari penyelesaian. Tu pun kena ajar ke? Ini dak, main ugut,” ciapnya di Twitter hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Negeri-Negeri Dan Persekutuan Parlimen, Hassan Abdul Karim turut tidak bersetuju dengan kenyataan Azmin tersebut.

Ahli Parlimen Pasir Gudang tersebut mengingatkan Azmin bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sama-sama mempunyai kuasa berhubung kesihatan awam dan pencegahan penyakit, di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Tinggalkan komen anda