Kebenaran rentas negeri bukan automatik, kata menteri


shadow

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengingatkan bahawa kelonggaran rentas negeri untuk kes-kes tertentu seperti yang diumumkannya semalam bukanlah diberikan secara automatik.

Katanya, sesiapa yang mahu membuat perjalanan rentas negeri bagi urusan kerja, perubatan, kecemasan, serta pasangan suami isteri yang berjauhan, harus terlebih dahulu membuat permohonan kepada polis sebelum melakukan perjalanan.

“Kebenaran itu bersyarat, bukan secara automatik.

“Siapa-siapa rasa dia nak berjalan, (bukan bermakna terus) boleh rentas negeri kerana alasan PJJ (perkahwinan jarak jauh). Kita pun tak tahu betul ke dia PJJ? Atau pun sengaja mengatakan (demikian) …

“Jadi semua empat (golongan) yang dikecualikan tadi mesti memohon kepada polis untuk mendapatkan kebenaran,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Katanya, hal itu memandangkan dari segi undang-undangnya, perjalanan rentas negeri dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini masih lagi tidak dibenarkan.

Kebenaran yang diberikan, kata Ismail Sabri, hanyalah secara bersyarat untuk kes-kes tertentu sahaja.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan larangan perjalanan rentas negeri ditarik balik untuk urusan kerja, perubatan, kecemasan, serta untuk pasangan suami isteri yang terpisah kerana PKP. 

Kelonggaran itu berkuat kuasa esok.

Mana-mana pihak yang ingkar akan larangan rentas negeri boleh dikenakan kompaun RM1,000.

Selain itu, menurut Ismail Sabri, polis mengenakan 147 sekatan jalan raya (SJR) rentas negeri di seluruh negara dan memeriksa 188,844 kenderaan semalam.

Tambahnya, negeri yang mencatatkan pengeluaran kompaun tertinggi untuk cubaan rentas negeri adalah Perak (42 kompaun), Selangor (32 kompaun), serta Pulau Pinang dan Johor (masing-masing 24 kompaun).

Tinggalkan komen anda