Kanak-kanak jadi ‘burung hantu’ semasa PKP?


shadow

Kedua-dua anak Mary seolah-olah menjadi seperti burung hantu sejak lebih 50 hari lalu apabila mereka berjaga sehingga lewat malam dan menghabiskan masa tidur pada siang hari.

Keadaan itu berlaku sejak kedua-dua pelajar sekolah rendah berkenaan melalui tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini, menyebabkan sekolah masih ditutup sehingga kini.

Mary berdepan cabaran memastikan anak-anaknya tidur awal. Mereka sering menyatakan tidak boleh tidur awal dan akan berjaga sehingga jam 2 pagi.

“Kesannya, mereka bangun tengah hari. Saya bimbang mereka tidak boleh mengubah rutin tersebut apabila sekolah dibuka semula apabila PKP tamat,” katanya.

Bukan Mary saja menghadapi situasi tersebut kerana R Devi, 45, turut sedar akan perubahan rutin anak perempuannya berumur 15 tahun. Dia juga tidur lewat dan bangun keesokan harinya lewat juga.

“Anak saya tidak ke sekolah dan belajar di rumah sahaja. Sebelum ini, dia selalu belajar pada waktu malam dan bangun awal untuk menyambung belajar lagi.

“Bagaimanapun, rutinnya berubah semasa PKP. Saya risau tabiat tersebut akan terbawa-bawa sehingga dewasa,” kata Devi.

Pusingan tidur terjejas

Tidur lewat dan bangun lewat nampaknya sudah menjadi satu rutin baru kebanyakan pelajar ketika keluarga mereka menyesuaikan diri dengan normal baru di bawah PKP.

Rutin tersebut dilihat lebih ketara membabitkan kanak-kanak berbanding orang dewasa kerana kanak-kanak mempunyai banyak masa di rumah.

Dr Deepa Darshini Amarnath, pakar psikiatri di Hospital Kuala Lumpur berkata PKP dilihat boleh menyumbang kepada gangguan rutin kanak-kanak disebabkan ketiadaan sokongan sosial yang biasa daripada kawan-kawan dan guru.

Beliau berkata perubahan rutin secara tiba-tiba itu boleh membawa kepada pelbagai peringkat kegelisahan, takut dan sedih dalam kalangan kanak-kanak. Dan mereka memerlukan ibu bapa berada di sisi sepanjang masa, justeru boleh memberi kesan terhadap corak tidur.

“Kita semua mempunyai ‘in-built body clock’ yang dipengaruhi keadaan siang hari atau malam.

“Apabila seseorang (dewasa atau kanak-kanak) duduk di rumah sepanjang masa, otak tidak menerima cukup isyarat mengenai keadaan siang atau malam bagi menentukan corak tidur yang betul, mengakibatkan pusingan tidur terjejas.

“Bagi mengatasi masalah ini, seboleh-bolehnya cuba kekalkan rutin asal (bangun tidur, makan, dan aktiviti-aktiviti lain) dan sediakan jadual waktu aktiviti keluarga.

“Sediakan jadual waktu yang boleh digambarkan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak kurang upaya seperti autistik, beri mereka tugasan mudah dan buat mereka berasa selesa yang mereka juga boleh membantu,” katanya kepada Bernama.

Dr Deepa Darshini berkata ibu bapa juga boleh menggunakan pelbagai pendekatan termasuk memberitahu mereka yang kehidupan mesti diteruskan, atau berkongsi dengan mereka mengenai kesusahan yang mereka hadapi dan bagaimana mengatasinya.

“Ibu bapa boleh juga menyediakan waktu tertentu untuk bersembang dengan anak-anak.

“Galakkan mereka untuk menyatakan perasaan (takut, marah, sedih) mereka dengan cara yang mereka selesa sama ada melalui perbualan, lukisan atau tulisan,” katanya.

Kena kreatif sesuaikan diri

Ditanya jenis aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengekalkan kesihatan mental dan fizikal, beliau berkata senaman mudah boleh dilakukan setiap pagi dan biarkan cahaya matahari memasuki rumah.

Pakar keibubapaan dan pembelajaran, Dr Shukri Abdullah, berkata ibu bapa mempunyai peranan untuk tegas tetapi tetap penyayang.

Beliau berkata ibu bapa boleh menetapkan beberapa peraturan bagi mendisiplinkan anak-anak di rumah.

“Paling utama, jangan benarkan anak-anak bawa telefon bimbit ke dalam bilik mereka. Mereka aktif dengan media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube merupakan satu daripada faktor mengapa mereka tidur lewat dan bangun lewat,” katanya.

“Satu daripada peraturan-peraturan yang boleh dibuat adalah menetapkan mereka belajar sekurang-kurangnya lima jam sehari semasa PKP. Anak-anak mungkin akan bertegang urat dan memberontak tetapi ibu bapa perlu tegas dan berbicara dengan mereka mengenai peraturan-peraturan yang boleh dilaksanakan di rumah,” katanya.

Shukri berkata beberapa aktiviti boleh dijalankan seperti menyelesaikan teka-teki, bermain catur, melukis dan menonton televisyen bagi mengelakkan anak-anak mendampingi media sosial.

“Ibu bapa juga perlu mempunyai keazaman untuk meluangkan masa bersama anak-anak semasa PKP, sesuatu yang sukar dibuat apabila PKP ditarik balik. Mereka hendaklah kreatif menyesuaikan diri dengan keadaan,” katanya.

PKP bersyarat dilaksanakan mulai 4 Mei bagi membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi digerakkan semula tanpa mengetepikan aspek kepentingan memerangi wabak Covid-19. Sekolah terus ditutup sehingga diberitahu kelak.

PKP yang memasuki fasa keempat akan berakhir 12 Mei.

– Bernama

Tinggalkan komen anda