Jee raya sendirian


shadow

Melalui episod kehidupan sebagai hambaNya, wanita, anak dan ibu tunggal, satu persatu dihadapi insan ini dengan tabah hingga dirinya kuat.

Melekat dalam ingatan rangkaian lagu menjeruk rasa seperti Teratai Layu Di Tasik Madu, namun, bagi Fauziah Latiff, hati menangis tiada siapa yang tahu.

Biar diuji kegagalan rumah tangga dan cabaran selama bergelar anak seni, datang apa sahaja, wanita jelita berusia 49 tahun ini terus kental.

Menyambut Syawal dalam suasana serba asing dek penularan COVID-19, Fauziah atau mesra disapa Jee, reda kali ini, ibu tersayang nun jauh di Pontian, Johor.

Halangan rentas negeri menyebabkan Jee atau nama penuhnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff tidak dapat pulang ke pangkuan bonda.

“Di luar dan di depan orang, menguntum senyum. Namun, hati menangis, tiada siapa yang tahu. Saya reda dan akur dengan semua suratan hidup.

“Sebagai anak tunggal, ibulah nyawa dan harta berharga selepas pemergian arwah ayah. Hubungan saya dan ibu memang rapat kerana kami saling bergantungan.

“Suatu cabaran mental buat saya julung kali tidak dapat beraya dengan ibu. Sedih, namun, apa daya, semua ini demi kebaikan bersama.

“Sebelum ini, andai tidak dapat bersama pada raya pertama, kami tetap berjumpa pada hari lain. Saya pastikan ada momen bersama dengan ibu.

“Dua tahun lalu, saya dan ibu bersama kakaknya, bercuti di Kuching, Sarawak, pada musim raya.

“Saya pernah juga pergi ke Singapura dengan ibu melawat sanak-saudara di sana,” katanya.

Saat ini, hanya telefon yang menjadi penghubung dua beranak ini kala berjauhan.

“Hampir setiap hari saya akan menghubungi ibu bertanya khabar dan memantau perkembangan dirinya.

“Itulah yang menjadi azimat kekuatan diri. Dapat mendengar suaranya seperti suatu aroma yang cukup menenangkan.

“Adakalanya, tanpa disedari kami masing-masing mengalirkan air mata.

“Maklumlah, kami bergelar ibu tunggal. Perasaan itu sudah diserap lama dalam diri… Kami saling memahami.

“Hati seorang ibu, kalau dia cakap okay itu belum tentu dia baik-baik sahaja… Saya melaluinya. Tapi tidak mengapa, apa yang pasti, saya bersyukur masih ada ibu,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai ibu yang berusia dalam lingkungan 70-an, Jee berkata, ratu hatinya itu sihat cuma tenaga tidak sekuat dahulu.

“Alhamdulillah, ibu masih sihat. Cuma tenaganya tidak seperti dahulu, biasalah apabila usia makin meningkat.

“Di hadapan rumah, ada sebidang tanah. Ibu bercucuk tanam dan memelihara haiwan ternakan. Itulah cara dia bersenam asalkan berpeluh badan,” katanya.

Tambah penyanyi yang muncul dengan album pertama Digamit Memori pada 1988 ini, dia pasti merindui masak lodeh stail Johor air tangan ibu setiap kali Hari Raya.

“Kali ini, hati jadi sensitif tidak dapat merasa juadah kegemaran ini. Sebenarnya, saya malas hendak fikir nanti dibuai emosi pula.

“Mahu atau tidak, kena ‘telan’. Raya kali ini berbeza daripada kebiasaan,” katanya.

Sehubungan itu, Jee faham perasaan anak rantau yang tidak dapat pulang beraya bertemu keluarga tercinta.

“Memang sedih tidak dapat balik mencium tangan dan bermaaf-maafan dengan ibu bapa dan keluarga pada Hari Raya. Saya faham benar perasaan itu.

“Semoga pengorbanan kita dapat memberi kebahagiaan pada masa depan. Jadi, teruslah akur arahan kerajaan demi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Tinggalkan komen anda