Harga ayam, sayur naik kerana kegagalan kerajaan – Salahuddin


shadow

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani, Salahuddin Ayub berkata kenaikan harga ayam dan sayur menjelang Hari Raya Puasa adalah disebabkan kerajaan gagal mengawal masalah rantaian bekalan makanan.

Katanya, meskipun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan akan melaksanakan skim kawalan harga maksimum barangan tertentu, harga dua bahan tersebut didapati terus meningkat.

“Tetapi seperti yang kita sedia maklum, harga ayam dan sayur tetap meningkat. Sekiranya pihak kerajaan menangani masalah rantaian bekalan makanan, perkara ini mungkin tidak akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata ahli Parlimen Pulai itu lagi, kerajaan seharusnya melakukan langkah wajar untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga barang makanan sentiasa terkawal, terutamanya sepanjang musim perayaan.

Contohnya, kata beliau, melalui kerjasama erat antara KPDNHEP dan kementerian pertanian dan industri makanan, seperti yang berlaku ketika dia menjadi menteri dahulu.

“Tahun lepas, kami telah bertindak secara proaktif melaksanakan skim harga maksimum musim perayaan bermula 15 hari sebelum musim perayaan dan 15 hari lagi selepas itu untuk 27 jenis barang.

“Ini bagi memastikan harga barang tidak naik mendadak seperti yang biasa terjadi menjelang Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.

“Hasilnya, harga bekalan makanan telah kekal terkawal dan munasabah dalam tempoh tersebut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kenaikan harga ayam dan sayuran di beberapa negeri. Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob kemudian dilaporkan berkata KPDNHEP akan melaksanakan senarai kawalan harga untuk tempoh perayaan bagi memastikan kenaikan mendadak harga barangan asas tidak berlaku.

Tinggalkan komen anda