Hakim digugur daripada dengar kes rasuah Ku Nan untuk kekal keyakinan awam


shadow

Hakim Mahkamah Tinggi digugurkan daripada mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor kerana beliau boleh bersikap berat sebelah, kata Mahkamah Rayuan.

Ia berkata hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali digugurkan “bagi mengekalkan tahap tertinggi keyakinan awam terhadap badan kehakiman.”

Pada 12 Feb, panel 3 hakim yang diketuai Yaacob Md Sam membenarkan rayuan Tengku Adnan, yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, namun penghakiman bertulis hanya dikeluarkan minggu lalu.

Panel itu turut dianggotai hakim Rhodzariah Bujang dan Hadhariah Syed Ismail.

Perbicaraan kes Ku Nan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Persekutuan.

Rhodzariah berkata, panel hakim berpendapat bahawa Nazlan mungkin bersikap berat sebelah walaupun ada jaminan beliau tidak bersikap prejudis terhadap Ku Nan selepas mendengar kes ahli perniagaan Tan Eng Boon.

“Bagaimana mungkin beliau, selepas bukan hanya melihat, tetapi juga menimbangkan fakta kes itu serta dokumen eksibit yang dikemukakan bagi menyokong rayuan Tan bahawa dia memberikan suapan kepada perayu (Ku Nan) yang diterima, boleh memadamkan sepenuhnya fakta penting ini daripada fikirannya?” kata Rhodzariah.

Rhodzariah, yang menulis keputusan 14 halaman itu berkata, panel hakim sama sekali tidak mempersoalkan integriti Nazlan atau kemampuannya untuk memutuskan kes Ku Nan berdasarkan bukti yang dikemukakan kepadanya.

“Kami juga berhati-hati bahawa keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak adalah tertakluk kepada pemeriksaan balas dan akan diberi penilaian maksimum oleh hakim (Nazlan),” katanya.

Beliau berkata, bahayanya adalah hakim telah menerima pengakuan bersalah Tan yang “pada pandangan kami tidak dapat dipadamkan”.

“Dengan kata lain, kemungkinan berlakunya sikap berat sebelah tidak dapat diketepikan,” tambahnya.

Beliau memetik kenyataan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Hamid Mohamed dalam kes Tan Heng Chew lawan Tan Kim Hor pada 2006, dengan berkata, rayuan Ku Nan dibenarkan “bagi mengekalkan tahap tertinggi keyakinan awam terhadap badan kehakiman.”

Pada 20 Sept, Nazlan menolak permohonan Ku Nan untuk menggugurkannya kerana bekas menteri itu gagal membuktikan beliau akan bersikap berat sebelah.

Tiga hari sebelum itu (17 Sept) Nazlan mensabit dan menjatuhkan hukuman ke atas Tan, yang mengaku bersalah bersubahat dengan Ku Nan dengan tuduhan alternatif setelah ahli perniagaan itu membuat pengakuan bersalah.

Nazlan menjatuhkan hukuman denda RM1.5 juta atau 12 bulan penjara ke atas Tan.

Tan, yang juga pengarah syarikat hartanah dan pemaju, dituduh memberi suapan RM1 juta kepada Ku Nan menerusi cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Ku Nan.

Sementara itu, ahli Parlimen Putrajaya itu, dituduh menerima bayaran RM1 juta daripada Tan untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan nisbah lot industri sebidang tanah di Jalan Semarak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank CIMB di Pusat Dagangan Dunia Putra, pada 27 Dis, 2013.

Tinggalkan komen anda