Dr M mula hilang sokongan PKR, DAP?


shadow

Soalan timbul mengenai PKR dan DAP yang dilihat tidak menyatakan sokongan terhadap usul Dr Mahathir Mohamad untuk menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melalui undi tidak percaya.

Dua penganalisis politik berkata mereka bingung dengan tindakan PKR dan DAP yang berdiam diri terhadap cadangan Mahathir serta usul Presiden Warisan Shafie Apdal yang gagal mengemukakan resolusi undi percaya terhadap bekas perdana menteri itu, yang juga pengerusi PPBM dan puak dalam parti tersebut masih bekerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan.

Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak berkata ramai orang tertanya-tanya mengapa Shafie, yang partinya bukan dalam gabungan PH tetapi mesra dengan gabungan itu, bertindak mengemukakan usul yang memihak kepada Mahathir ketika ia seharusnya dilakukan oleh seseorang dari PKR atau DAP.

“Saya juga bingung,” kata Puyok kepada FMT. “Tetapi saya fikir DAP mahu mengelak daripada dilihat sebagai parti bukan Melayu yang menentang orang Melayu.”

Muhyiddin mengetuai gabungan yang terdiri daripada Umno, PAS, GPS dan puaknya di dalam PBBM.

Sementara bagi PKR, Puyok berkata, beliau dapat memahami parti itu mengambil pendekatan berhati-hati dalam hal yang berkaitan Mahathir.

Menyentuh mengenai Presiden PKR Anwar Ibrahim yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, beliau membuat spekulasi parti itu tetap membiarkan pilihannya terbuka.

Beliau tertanya-tanya adakah Shafie dan Mahathir memainkan peranan yang diselaraskan dan PKR serta DAP merancang sesuatu yang besar.

Tony Paridi Bagang berkata beliau berminat untuk menafsirkan tindakan PKR dan DAP yang berdiam diri terhadap gerakan menentang Muhyiddin sebagai kurangnya keyakinan mereka terhadap tindakan Mahathir.

“Tetapi ini hanya akan diketahui pada 18 Mei,” kata ahli akademik UiTM Sabah itu, merujuk kepada tarikh persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

Beliau berkata seseorang juga dapat melihat situasi itu sebagai persaingan segi tiga antara Muhyiddin, Mahathir dan Anwar.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof minggu lalu menerima usul Mahathir mengenai undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun, beliau menolak surat Shafie yang meminta usul undi percaya terhadap Mahathir, dengan berkata ia bertentangan dengan peruntukan perlembagaan mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik perdana menteri.

Bagang berkata, parti Shafie ketika ini mungkin menjadi mangsa keadaan dalam persaingan antara Mahathir dan Muhyiddin.

Bagang berkata surat tersebut mula menghantui presiden Warisan itu walaupun Shafie berkata dalam usul berkenaan beliau tidak mempersoalkan kuasa Agong.

Antara mereka yang menyerang Shafie adalah bekas menteri persekutuan Abdul Rahman Dahlan dari Umno. Beliau mencabar Shafie meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Sabah.

Bagang berkata beliau percaya usul Shafie adalah sebahagian daripada usaha menyerang Muhyiddin dari beberapa arah.

Tinggalkan komen anda