Dilarang rentas negeri tanpa kebenaran polis, alasan munasabah


shadow

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengingatkan orang ramai tidak melakukan pergerakan rentas negeri selepas kebenaran perjalanan selama 4 hari sejak 7 Mei lalu tamat semalam.

Beliau berkata, mulai hari ini, orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri perlu mempunyai alasan munasabah serta mendapat kebenaran polis terlebih dahulu.

“Sekiranya masih ada keperluan oleh sesiapa untuk membuat pergerakan rentas negeri, maka alasannya mestilah munasabah seperti menziarahi kematian ahli keluarga terdekat.

“Bagi tujuan sebegini, maka kebenaran polis mestilah diperoleh terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Jumaat lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pergerakan rentas negeri selepas 10 Mei memerlukan kebenaran polis dan hanya kes kecemasan akan dibenarkan.

Katanya, individu yang memerlukan kebenaran pergerakan itu boleh memohon di balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, Hamid percaya tempoh 4 hari pergerakan rentas negeri yang dibenarkan memadai untuk menyatukan keluarga terpisah sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kebenaran rentas negeri ini adalah untuk mengurangkan beban psikologi mereka yang terpisah dengan ahli keluarga sejak pelaksanaan PKP mulai 18 Mac lepas.”

Beliau berkata, jadual pergerakan yang disusun selama 4 hari bertujuan mengelakkan kesesakan di jalan raya.

“Ia juga dibuat bagi membolehkan polis merekodkan data-data pergerakan…data pergerakan rentas negeri ini amat berguna bagi tujuan pengesanan kontak sekiranya ada kes Covid-19.”

Tinggalkan komen anda