COVID-19 : Tailong gusar masa depan industri seni


shadow

Kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kemungkinan dunia perlu menanti antara empat hingga lima tahun untuk COVID-19 dikawal secara efektif, menggusarkan Datuk Rosyam Nor.

Memiliki reputasi gah dalam dunia lakonan sejak memulakan langkah pada 1986, Rosyam yang sinonim dengan gelaran ‘Tailong’ hasil lakonan mantap dalam filem KL Gangster 2, bimbang pandemik ini mampu melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi termasuk industri seni.

Penerbit dan pelakon disegani itu tidak menolak impak COVID-19 terhadap pembangunan industri hiburan secara global mahupun tempatan, ketika laungan membiasakan diri dengan istilah normal baharu kehidupan lantang kedengaran.

“Kerajaan tidak membenarkan majlis keramaian diadakan sehingga akhir tahun ini. Melihatkan pengumuman itu, kita sudah tahu bahawa sebarang aktiviti berkaitan hiburan seperti penggambaran dan tayangan filem misalnya, tidak boleh diteruskan.

“Tidak dinafikan, situasi ini membuatkan industri perfileman kita ‘sakit’. Jika tiada penggambaran, tiadalah naskhah baharu.

“Malah, saya percaya penerbit tempatan berfikir bukan 100 kali, tetapi 1,000 kali untuk menerbitkan filem atau drama dalam keadaan sekarang,” katanya kepada BH Online.

Risau memikirkan kesan jangka panjang yang bakal meletakkan penerbit, pengedar, pelakon dan kru belakang tabir goyah, Rosyam percaya pandemik ini mengancam pasaran filem.

“Pengusaha pawagam juga menanggung rugi. Kalau bikin filem, siapa yang berani pergi tengok wayang?

“Selepas pandemik ini, saya percaya semua perkara sukar untuk kembali seperti biasa. Jadi, kita kena fikir cara menyesuaikan diri dalam kehidupan normal baharu.

“Besar cabaran perlu dihadapi industri seni. Namun, apa yang boleh dilakukan kerana bukan kita saja terkena impaknya, malah seluruh dunia,” katanya.

Sehubungan itu, Rosyam berharap adanya jalan penyelesaian dan kata sepakat yang diambil kerajaan dan penggerak industri seni bagi menangani kemelut itu.

“Saya berharap persatuan, penerbit dan stesen televisyen (TV) dapat berbincang dengan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi kelangsungan industri seni,” katanya.

Pelakon filem Balistik ini berkata, biarpun selepas ini, aktiviti penggambaran tidak lagi seperti dulu terutama dalam aspek tenaga kerja, proses itu masih boleh disempurnakan dengan baik.

“Kreativiti ada dalam setiap penerbit dan pengarah. Mereka boleh menghasilkan karya yang tidak memerlukan ramai pelakon dan kru. Stesen TV kena terbuka dengan pilihan yang terhad.

“Kita boleh cuba meminimumkan kru dan membuat plot cerita tidak membabitkan ramai pelakon.

“Karya filem atau drama terpulang kepada kita sebenarnya. Biarpun tenaga petugas dikurangkan, kita masih boleh memberi naskhah yang bagus,” katanya.

Rosyam tidak menafikan, dengan kekurangan kru produksi, kesan besar dirasakan. Namun, SOP yang diputuskan perlu dipatuhi.

“Memang ramai akan terjejas. Sekarang masing-masing mula menerima kesan selepas hampir tiga bulan tiada penggambaran.

“Kita perlu ingat, dalam kerja produksi, kebanyakan petugas adalah pekerja sambilan. Jadi, apabila tiada penggambaran, tiadalah kerja.

“Setiap seorang pekerja industri ini menghadapi cabaran termasuklah saya. Sepatutnya, saya berlakon dalam filem arahan Mamat Khalid dan Sabri Yunus. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), projek ditangguhkan,” katanya.

Rosyam berkata, dia juga sepatutnya berangkat ke Hong Kong bagi menyudahkan pembikinan filem G Storm bersama Louis Khoo.

“Penggambaran tinggal sehari saja, namun tidak sempat dihabiskan,” katanya sambil menambah syarikat produksinya, Suhan Movies juga menunda penggambaran tiga drama.

Melihat sendiri kesan pandemik kepada teman seperjuangan, Rosyam yang juga Pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd, bekerjasama dengan projek Ikhlas, iaitu jenama perniagaan baharu di bawah AirAsia.com, menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Melalui kerjasama itu, mereka menghulur sumbangan barangan keperluan asas kepada 1,000 keluarga pelbagai komuniti termasuk ahli Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PROFIMA) dan Pertubuhan Khairat Anak Seni Malaysia (PERKHAS).

Rosyam berkata, melalui Kempen Derma Dengan Ikhlas, dana sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi membeli barangan keperluan.

“Sehingga hari ini, lebih RM1 juta berjaya dikumpul. Kita tidak beri wang, sebaliknya barangan keperluan.

“Alhamdulillah, kami dapat menyiapkan 1,000 set barang keperluan untuk diagihkan kepada keluarga terbabit.

“Dengan bantuan ini, kami dapat meringankan beban ditanggung selepas hampir tiga bulan mereka tidak bekerja,” katanya.

Tinggalkan komen anda