Pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi global dengan risiko kemelesetan dapat memberi peluang kepada Malaysia untuk mengatur semula industri penerbangannya dan mencatatkan keuntungan, kata penganalisis.
Brendan Sobie, penganalisis dan perunding bebas Sobie Aviation, berkata industri penerbangan tempatan telah berada pada tahap kritikal malah sebelum COVID-19, dengan semua enam syarikat penerbangan tidak mencatat keuntungan pada 2019 dan pasaran menghadapi lebihan kapasiti.
Katanya kerajaan mempunyai banyak inisiatif untuk mengatur semula, tetapi keadaan menjadi lebih penting sekarang berikutan industri semakin tenat dan potensi untuk muflis adalah benar.
“Bagi pengaturan semula ini berjaya, perbincangan secara menyeluruh dan memikirkan semula strategi penerbangan nasional Malaysia secara keseluruhan perlu dibuat.
“Sementara itu, Malaysia perlu segera memberi sokongan kepada semua syarikat penerbangannya, untuk mengekalkan pekerjaan, hubungan dan peranannya sebagai hab,” katanya, menyatakan tanpa COVID-19, tahun ini akan menjadi tahun yang baik bagi sektor penerbangan Malaysia.
Sobie berkata sokongan kerajaan boleh menjadi dalam bentuk skim pekerjaan, seperti yang dilakukan oleh Singapura dan Amerika Syarikat, apabila kerajaan mengambil alih gaji pekerja syarikat penerbangan sebagai usaha untuk mengekalkan pekerjaan mereka dan memastikan mereka ada semasa krisis ini berakhir.
Beliau berkata demikian dalam sesi webinar bertajuk, ‘The Impact of COVID-19 on the Malaysian Air Transportation Industry’ anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) hari ini.
Penceramah lain ialah Edward Clayton, rakan kongsi di PricewaterhouseCoopers (PwC), dan David Jones, Ketua Jawatankuasa Aeroangkasa EUMCCI dan Pengarah Urusan Asia Pasifik untuk Chartered Management Institute.
Clayton memuji langkah cepat kerajaan Malaysia menangani COVID-19, menyatakan ia lebih cepat berbanding kebanyakan negara lain di dunia, dan sekatan ke atas penjarakan sosial melalui Perintah Kawalan Pergerakan.
Beliau amat bersetuju dengan pandangan bahawa kerajaan di Malaysia dan negara lain perlu tampil dan menyokong industri penerbangan daripada muflis berikutan impak daripada COVID-19.
“Soalan yang perlu ditanya oleh kerajaan sendiri ialah, adakah mereka melihat syarikat penerbangan sebagai utiliti atau mewah? Secara keseluruhannya, dalam syarikat penerbangan Asia Tenggara adalah utiliti.
“Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan mengenai cara (untuk mengekalkan) utiliti mereka dan memikirkan mengenai menerapkannya kepada syarikat penerbangan, lapangan terbang dan seluruh rantaian nilai,” katanya, menekankan ini juga membolehkan kerajaan mengelak situasi lebihan subsidi jika terdapat insentif.
Sementara itu, dalam menjawab soalan seorang peserta mengenai potensi penggabungan dalam industri penerbangan di Malaysia, Sobie yakin bahawa walaupun sebelum wabak COVID-19, langkah tersebut telah dibuat berikutan lebihan kapasiti, persaingan yang tidak rasional dan situasi syarikat penerbangan yang menanggung kerugian.
Bagaimanapun, katanya krisis ini tidak mewujudkan apa-apa pengambilalihan yang segera di Malaysia atau di tempat lain berikutan semua orang hanya memberi tumpuan kepada isu mereka sendiri, potensi sokongan kerajaan dan lain-lain.
“Isunya ialah banyak penyatuan (di Malaysia) akan dicetuskan oleh Khazanah Nasional Bhd, bagaimana mereka mengendalikan potensi jualan Malaysia Airlines. Terdapat banyak cadangan daripada syarikat penerbangan (tempatan dan luar negara) serta bukan syarikat penerbangan.
“Apabila mereka (Khazanah) bersedia untuk memulakan semula, mereka perlu melihat kepada siapa yang masih berminat berikutan pasaran sentiasa berubah, dan melihat kepada strategi secara menyeluruh.
“Saya tidak fikir ia akan bermula semula dengan cepat, mereka perlu melihat kepada pilhan lain dalam gambaran yang lebih besar,” katanya.
Mengenai pemulihan, Sobie berkata Malaysia lebih bernasib baik berbanding beberapa negara lain berikutan mempunyai pasaran domestik yang amat kukuh, yang boleh memberi kekuatan kepada Malaysia untuk pulih dengan kurang sumbangan daripada pasaran masuk antarabangsa.
Walaupun AirAsia dan Malindo Air telah menyambung semula operasi domestik mereka pada minggu ini, pasaran tidak akan menyaksikan jumlah yang ketara berikutan kebimbangan mengenai keselamatan dan kesihatan, katanya.
“China, misalnya, pemulihan bermula pada Mac di peringkat tempatan tetapi (permintaan) masih susut 70 peratus.
“Oleh itu, kita dijangka menyaksikan pemulihan yang amat perlahan dalam pasaran domestik (syarikat penerbangan) dan malah antarabangsa akan mengambil masa yang lebih lama, mungkin (mereka akan) menyambung semula pada suku keempat tahun ini tetapi peningkatan tidak akan (berlaku) pada tahun depan untuk antarabangsa,” jelas beliau.
Beliau menjangka pasaran antarabangsa akan mula pulih pada 2022 atau 2023.
Pada 2019, syarikat penerbangan Malaysia membawa sebanyak 64 juta penumpang, terdiri daripada 27.8 juta penumpang domestik dan 36 juta penumpang antarabangsa ke/dari Malaysia, dengan baki beberapa ratus ribu dibawa di laluan kebebasan kelima.
AirAsia/AirAsia X mengawal 64 peratus daripada pasaran, manakala Malaysia Airlines Bhd meraih 25 peratus dan Malindo Air sebanyak 11 peratus.
— BERNAMA
Tinggalkan komen anda