Bersatu mahu pecat Dr Mahathir, Mukhriz?


shadow

MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dijangka akan membincangkan pemecatan Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir dari parti dalam satu mesyuarat esok yang tidak memanggil mereka, kata sumber dalam parti.

Dr Mahathir dan Mukhriz adalah antara pengasas Bersatu, yang ditubuhkan pada September 2016 untuk menggantikan Umno sebagai parti orang Melayu dan Bumiputera.

Mesyuarat esok dipanggil ketika kemelut perpecahan dalam Bersatu, susulan langkah Presiden Muhyiddin Yassin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan bekerjasama dengan Umno, semakin memuncak secara terbuka.

Ia juga berlaku ketika kedudukan pentadbiran Mukhriz di Kedah dikatakan semakin goyang selepas peralihan pentadbiran di Putrajaya. Awal hari ini, pemimpin PAS dan Umno mengadakan pertemuan di Alor Setar dipercayai membincangkan kemungkinan mengambil alih pentadbiran negeri.

Tiga ahli MPT mengesahkan kepada The Malaysian Insight, surat panggilan mesyuarat tidak menyenaraikan pengerusi dan timbalan presiden parti.

Seorang ahli MPT Abu Bakar Yahya mendedahkan di Facebook beliau menerima jemputan hadir ke mesyuarat esok.

“Tapi dalam jemputan tersebut, pengerusi (Dr Mahathir) dan timbalan (Mukhriz) tidak dijemput. Agenda mesyuarat pun tidak dimaklumkan.

“Apakah mesyuarat ini ada agenda untuk pecat memecat?” tanyanya.

Abu Bakar adalah juga setiausaha politik kepada Dr Mahathir semasa jadi perdana menteri.

“Tun (Dr Mahathir) dan Mukhriz tidak dipanggil sebab parti hendak pecat mereka,” kata seorang lagi ahli MPT Bersatu yang enggan dinamakan.

Notis mesyuarat yang dilihat oleh The Malaysian Insight menyenaraikan presiden, dua naib presiden, ketua sayap Pemuda dan Wanita, dan ahli pimpinan tertinggi yang lain. Notis dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya.

Seorang ahli MPT Bersatu Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, yang juga menerima panggilan mesyuarat esok, menulis di Facebook berharap khabar pemecatan Dr Mahathir dan Mukhriz tidak betul.

“Saya harap MPT akan membincangkan macam mana untuk merapatkan barisan demi memastikan Bersatu berperanan penting sebagai sebuah parti dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya.

“Saya juga berdoa desas-desus yang menyatakan mesyuarat esok berniat untuk menggugurkan keahlian Dr Mahathir dan Mukhriz berdasarkan kenyataan-kenyataan Ketua Penerangan tidak benar.”

Khamis lalu, Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin berkata parti sedia menggugurkan keanggotaan mana-mana ahlinya yang menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti. 

Bersatu tidak menganggap Dr Mahathir sebagai pengerusi parti selepas beliau letak jawatan pada 24 Februari lalu, pada hari yang sama beliau letak jawatan perdana menteri.

Dr Mahathir letak jawatan kerana tidak bersetuju dengan langkah Bersatu mahu keluar Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan baharu.

Muhkriz pula dalam satu kenyataan panjang minggu lalu menyeru Bersatu untuk kembali bersama PH, demi masa depan parti yang lebih terjamin berbanding jika bekerjasama dengan PAS dan Umno.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH pada 24 Februari, keputusan yang didakwa dipersetujui dalam mesyuarat sehari sebelumnya, dan seterusnya menubuhkan kerajaan baharu di Putrajaya bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Semalam, Dr Mahathir menyeru ahli-ahli Bersatu merenung semula niat mereka dan jati diri perjuangan semasa menyertai parti, selepas Muhyiddin bekerjasama dengan Umno yang mereka lawan sebelum ini.

Susulan kenyataan itu, Radzi mengeluarkan kenyataan balas mendakwa Dr Mahathir sebenarnya tahu sejak awal dan bersetuju dengan cadangan Bersatu keluar PH namun kemudian mengubah fikiran.

Sejak seminggu lalu, pemimpin Bersatu berbalas kenyataan di media saling mempertikai dan mempertahan langkah parti keluar PH dan membentuk kerajaan baharu bersama Umno.

Bersatu menangguhkan pemilihan parti sehingga akhir Jun susulan pelbagai sekatan bagi membendung penularan Covid-19. Pemilihan itu sepatutnya berlangsung hujung April lalu.

Dr Mahathir terpilih semula sebagai pengerusi parti selepas tiada pencalonan lain untuk jawatan itu. Muhyiddin pula dicabar oleh Mukhriz untuk jawatan presiden.

Tinggalkan komen anda