Bekas juruhebah Patrick Teoh ditahan atas dakwaan hina TMJ


shadow

PATRICK Teoh ditahan polis atas dakwaan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, lapor The Star.

Peguam Rajan Navaratnam yang mewakili Teoh mengesahkan bekas juruhebah radio itu ditahan semalam.

“Dia dijangka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan malam ini (semalam) untuk direman esok (hari ini),” katanya dipetik The Star malam tadi.

Teoh diperintah ditahan reman sehingga Selasa, kata peguamnya.

Menurut Rajan, Teoh didakwa mengongsikan semula video tahun lepas yang menunjukkan Tunku Ismail dan individu berpakaian tentera dan mengendalikan senjata api.

Teoh, 72, dipercayai menggunakan kata-kata kesat semasa mengulas video yang dikongsinya di Facebook pada Khamis lalu.

Hantaran itu bagaimanapun sudah dipadam.

Rajan berkata polis memanggil Teoh selepas satu laporan dibuat terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan bekas juruhebah itu telah dipanggil untuk diambil keterangan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas penggunaan rangkaian yang tidak betul.

Tinggalkan komen anda