Balik kampung: Polis arah lebih 3,000 kenderaan patah balik


shadow

Lebih dari 3,000 kenderaan diarah berpatah balik kerana cuba melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung tanpa alasan munasabah semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding kelmarin.

“Kelmarin ada lebih 1,000 kenderaan cuba rentas negeri dan jumlah itu sudah kita anggap tinggi, namun semalam meningkat lagi sehingga lebih 3,000.

“Ini bermakna jumlah mereka yang berminat balik ke kampung masih ramai dengan cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya.

“Namun, polis akan bertindak tegas dan tidak akan benarkan sesiapa merentasi negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri, kecuali atas kes kecemasan seperti kematian dan kebenaran perlu diperoleh dari balai polis berhampiran,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata terdapat lonjakan kenderaan yang cuba menyelinap pulang melalui perjalanan rentas negeri.

Katanya, polis hanya akan membenarkan kenderaan dengan kebenaran dan alasan yang kukuh, seperti kematian ahli keluarga, untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan, juga memaklumkan polis telah melaksanakan 216 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri, semalam, dan memeriksa 318,082 kenderaan.

Selain itu, sebanyak 77,537 pemeriksaan dibuat semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan PKPB di seluruh negara, katanya.

Ini membabitkan 4,883 pasar raya, 4,572 restoran, 697 penjaja, 1,260 kilang serta 3,878 bank.

Ismail Sabri juga memaklumkan, polis sudah mengeluarkan kompaun kepada 51 individu setakat semalam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

“Semalam, PDRM juga menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP, dengan 40 individu direman dan empat individu dijamin,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan juga dibuat di 1,108 terminal pengangkutan darat, 208 terminal pengangkutan air dan 107 terminal pengangkutan udara, dan memeriksa 32,670 kenderaan persendirian, 2,369 kenderaan awam dan 461 kapal.

“Turut diperiksa adalah 2,814 pasar awam, 3,894 tempat ibadah, 1,546 tempat riadah dan 462 tapak binaan,” katanya.

Tinggalkan komen anda