AG enggan ulas laporan ‘banyak pihak sedia buat tawaran’


shadow

Peguam Negara Idrus Harun enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) kini dibanjiri dengan permintaan pelbagai pihak yang bersedia membuat tawaran susulan keputusan mahkamah yang “melepas tanpa membebaskan (DNAA)” Riza Aziz atas tuduhan pengubahan wang haramnya yang melibatkan dana 1MDB.

Laman web pendedah maklumat, Sarawak Report semalam menerbitkan sebuah artikel yang memetik sumber-sumber yang rapat dengan AGC mengatakan berikutan perjanjian yang tidak dijangka berkenaan dan perubahan kerajaan Persekutuan “semua peguam jenayah yang mewakili sekitar 25 atau lebih defendan daripada Umno sedang berlumba-lumba untuk membuat tawaran bagi anak guaman mereka.”

Ketika ditanya oleh Malaysiakini apakah beliau telah memberi reaksi berhubung artikel Sarawak Report itu, Idrus sekadar menjawab: “Tidak.”

Sumber itu mendakwa bahawa permohonan Riza adalah “one off pada bulan November (tahun lalu) kerana tidak banyak yang berani cuba berbuat demikian di bawah AG (Tommy Thomas) sebelum ini.”

Di bawah perjanjian itu, Riza, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan AS$248 juta (RM1.08 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Sebagai pertukaran, Riza akan mengembalikan aset asing yang dianggarkan bernilai AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Keputusan itu mencetuskan pertikaman lidah di antara bekas menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa beliau keliru dan prihatin dengan perjanjian itu. Najib kemudiannya membalas dan mengingatkan Mahathir mengenai anak-anaknya pula.

Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan pula menasihatkan Mahathir supaya tidak bersikap hipokrit dengan berkata ini kerana keputusan itu dibuat oleh peguam negara dan dilaksanakan oleh timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes tersebut pada akhir 2019.

Thomas pula berulang kali menjarakkan dirinya daripada tawaran pengakuan itu dengan berkata bahawa beliau tidak pernah menyetujui perjanjian penyelesaian itu kerana berbuat demikian akan mengkhianati kepercayaan perdana menteri dan kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Idrus bahawa dirinya memberi persetujuan untuk menerima tawaran Riza itu.

“Oleh kerana Idrus (peguam negara) berusaha memberi pertimbangan terhadap pandangan saya yang kononnya ‘bersetuju secara prinsipnya’ (yang kesemuannya adalah rekaan), izinkan saya menyatakan secara terbuka bahawa saya tidak akan pernah meluluskan perjanjian ini,” kata Thomas.

Selain Najib dan ibu Riza, Rosmah Mansor, sejumlah pemimpin Umno terkemuka termasuk presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, Bung Moktar Radin, Abdul Azeez Abdul Rahim, Tengku Adnan Mansor, Mohd Isa Abdul Samad dan beberapa yang lain telah didakwa melakukan rasuah.

Tinggalkan komen anda