4 hari untuk yang terkandas buat pergerakan balik rumah


shadow

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan empat hari mulai Khamis hingga Ahad ini, bagi membolehkan orang ramai bergerak rentas negeri, kembali ke kediaman masing-masing dari seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamad, berkata untuk pergerakan rentas antara negeri itu, semua orang ramai perlu mendapatkan kebenaran menerusi aplikasi dalam talian, Gerak Malaysia.

Beliau berkata, untuk tujuan pergerakan rentas di antara negeri itu, PDRM sudah menerima 462,505 permohonan daripada individu yang akan bergerak bersama keluarga masing-masing.

“Pada Khamis 7 Mei ditetapkan untuk orang ramai terkandas di Kuala Lumpur pulang ke kediaman di negeri lain seluruh negara.

“Pada 8 Mei (Jumaat) diperuntukkan untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing terutamanya di Kuala Lumpur.

“Pada 9 Mei (Sabtu) pergerakan dikhususkan kepada mereka yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

“Pada 10 Mei (Ahad) pergerakan dikhususkan kepada mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya.

Huzir berkata, jadual pergerakan itu dirancang oleh PDRM supaya semua pengguna tidak tiba di sesuatu lokasi khususnya sekitar Kuala Lumpur secara serentak.

Datuk Huzir Mohamed. NSTP/Zunnur Al Shafiq
Datuk Huzir Mohamed. NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pengguna digalak membuat pergerakan waktu malam pada tarikh yang ditetapkan sahaja, khususnya selepas waktu berbuka puasa.

Beliau mengingatkan semua pengguna yang pada tarikh pergerakan ditetapkan, tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya yang dilalui.

“Surau sepanjang lebuh raya juga ditutup, selain orang ramai tidak dibenarkan bersolat di kawasan lapang atau bangunan sekitar R&R. Hanya kemudahan tandas awam beroperasi di lebuh raya.

“Kawasan letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna yang singgah tidak dibenarkan keluar dari kenderaan masing-masing, kecuali untuk menggunakan tandas awam,” katanya.

Stesen minyak di lebuh raya hanya beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja. Pengguna juga dilarang membuat pergerakan secara berkumpulan sepanjang lebuh raya.

Seramai 1.16 juta individu sudah memuat turun aplikasi mudah alih ‘Gerak Malaysia’ menerusi telefon pintar masing-masing untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri.

Daripada jumlah itu, seramai 462,505 orang sudah memohon permit berkenaan, dari 25 April hingga 1 Mei lalu.

“Orang ramai diminta untuk mengemaskini maklumat terkini menerusi aplikasi itu bagi melancarkan proses pergerakan rentas negeri,” katanya.

Tinggalkan komen anda