2,500 kekosongan jawatan sedia direbut pencari kerja


shadow

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) menganjurkan Karnival Kerjaya Maya Belia 2020 dengan 2,500 kekosongan jawatan di seluruh negara ditawarkan.

PERKESO melalui kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran karnival pada 11 hingga 13 Mei lalu itu bertujuan membantu golongan yang kehilangan pekerjaaan untuk kembali mengejar kerjaya.

Ia juga inisiatif agensi berkenaan untuk terus memainkan peranan sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan negara sepanjang pandemik COVID-19 yang mencabar ini.

Karnival berkenaan mendapat sokongan Kementerian Sumber Manusia yang disertai lebih 100 orang pakar, penyedia latihan serta majikan di setiap sesi.

“Sebanyak 2,500 kekosongan jawatan di seluruh negara ditawarkan dan sehingga kini seramai 1,100 calon sudah berdaftar dengan acara ini.

“Temuduga terbuka secara maya sudah dijalankan membabitkan 20 majikan semalam dan enam calon berjaya diterima bekerja, sementara lebih 116 yang lain bakal menjalani temuduga kedua,” katanya.

Kenyataan sama memaklumkan, SIP PERKESO juga memain peranan penting dalam mengurangkan impak ekonomi terhadap majikan dan pekerja melalui Program Pengekalan Pekerjaan dan Program Subsidi Upah yang turut diamalkan negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Denmark.

“Selain itu, Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO yang bermula pada 2008 di bawah SIP juga memainkan peranan utama dalam menyelaras Program Pasaran Buruh Aktif (PPBA).

“Fungsinya kini juga diperluaskan meliputi semua kategori pencari kerja termasuk graduan, selain daripada pekerja yang kehilangan pekerjaan di mana semua perkhidmatan disediakan secara percuma,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari https://careerfair.perkeso.gov.my atau hubungi 1-300-22-8000 atau emel ke jobportal@perkeso.gov.my.

Tinggalkan komen anda