Zon Hijau :TMpoint terpilih akan mula beroperasi


shadow

KUALA LUMPUR – Cawangan TMpoint yang berada di kawasan zon hijau COVID-19 akan mula beroperasi pada 4 Mei ini, susulan kelonggaran sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM) Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, protokol keselamatan akan diambil sepanjang waktu beroperasi bagi mematuhi panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Waktu operasi adalah selama tiga hari seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat dari 10 pagi sehingga 4 petang dan waktu operasi mungkin berbeza bagi beberapa cawangan untuk mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

“Pelanggan boleh melakukan transaksi seperti langganan perkhidmatan, pengambilan dan penukaran kad SIM untuk unifi Mobile, pengambilan peranti untuk unifi Air serta bantuan secara bersemuka untuk produk dan perkhidmatan TM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, sekurang-kurangnya tiga orang akan bertugas dan lima orang pengunjung pada satu-satu masa merupakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dilaksanakan sepanjang waktu beroperasi di semua cawangan terlibat.

Sementara itu, para pelanggan TM yang menetap di kawasan Zon Kuning dan Merah dinasihat untuk berhubung dengan Operasi Khidmat Pelanggan TM bermula 7 pagi sehingga 9 malam menerusi saluran alternatif seperti Pusat Panggilan TM di 100, Live Chat, Media Sosial dan e-mel. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang TM www.unifi.com.my

Tinggalkan komen anda