Yusof Ismail dilantik Ketua Pengarah MAMPU


shadow

Datuk Dr. Yusof Ismail dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) berkuatkuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali mengumumkan perlantikan tersebut berkata, Dr. Yusof berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk kewangan, pelaburan strategik dan ekonomi.

“Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Transformasi dan Pemodenan Pengurusan) MAMPU, serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian (Bahagian Pelaburan Strategik), Kementerian Kewangan. 

“Semoga dengan pelantikan ini, kecekapan dan keberkesanan MAMPU melaksanakan transformasi kerajaan digital ke arah penawaran perkhidmatan yang berpaksikan rakyat diperkasakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Yusof menggantikan Datuk Dr Mazlan Yusoff yang telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi berkuatkuasa pada 23 Mac lepas.

Terdahulu, Yusof, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Pembangunan Ekonomi dari Williams College, Massachusetts, Amerika Syarikat dan Doktor Falsafah Pembangunan Komuniti dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau pernah berkhidmat dengan perkhidmatan awam selama 32 tahun dengan jawatan pertama yang disandangnya sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Ekonomi di Kementerian Kewangan pada 12 Januari 1988.

Tinggalkan komen anda