Kementerian Kesihatan Malaysia menggesa orang ramai tidak menafikan hak petugas mereka – terutama yang berkhidmat di barisan depan – untuk mendapat peralatan perlindungan diri (PPE) apabila kemudahan tersebut dicuri dari hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peralatan seperti penutup hidung dan mulut, sarung tangan dan pensanitasi tangan yang dibekalkan di hospital adalah untuk digunakan kakitangan kesihatan.
Katanya mereka memerlukan kemudahan itu kerana berdepan risiko jangkitan Covid-19.
“Kalau ada yang mengambilnya untuk kegunaan sendiri, saya rasa dia kena fikir bukan dia seorang yang kena pakai.
“Fikirkan orang ramai juga. Jangan ambil sanitizer KKM, sarung tangan atau penutup hidung dan mulut.
“Bahan itu penting untuk kegunaan barisan hadapan, keutamaan adalah untuk barisan hadapan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Terdahulu Noor Hisham diminta mengulas mengenai beberapa tularan di media sosial menunjukkan ada pihak cuba menjual kemudahan PPE melalui dalam talian.
PPE tersebut dipercayai diambil dari hospital kerajaan.
Tinggalkan komen anda