Tiga rakyat Malaysia positif COVID-19 di Singapura


shadow

SINGAPURA – Kementerian Kesihatan Singapura semalam mengesahkan tambahan 75 kes jangkitan COVID-19, termasuk tiga membabitkan rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan, di sini, kementerian itu memaklumkan bahawa salah satu kes import dari Malaysia membabitkan seorang lelaki berumur 32 tahun yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura, manakala dua lagi daripada sektor penjagaan kesihatan awam.

Dua kes daripada sektor penjagaan kesihatan awam itu membabitkan seorang porter wanita berumur 24 tahun di Hospital Tan Tock Seng yang merupakan pemegang Pas Jangka Panjang, dan seorang penolong rawatan kesihatan wanita berusia 20 tahun di Sengkang General Hospital yang juga pemegang Pas Kerja Singapura.

Menurut kementerian itu, 75 kes baharu berkenaan terdiri daripada enam kes import dan 69 kes tempatan, menjadikan jumlah kes positif di republik ini mencecah 1,189.

Hingga semalam, Singapura telah mengenal pasti empat lagi kluster baharu terdiri daripada Sungei Tengah Lodge di Old Choa Chu Kang Road; Toh Guan Dormitory di Toh Guan Road East; Cochrane Lodge II di Admiralty Road West; dan The Orange Ballroom di Geylang Road.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata, 15 lagi kes jangitan COVID-19 telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, menjadikan jumlah sembuh daripada penyakit itu ialah 297, setakat ini.

Kebanyakan daripada 500 kes disahkan yang masih di hospital, berada dalam keadaan stabil atau semakin sembuh, manakala 26 lagi kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu, 386 kes yang dalam keadaan baik secara klinikal tetapi masih positif COVID-19, diasingkan dan dijaga di Concord International Hospital, Mount Elizabeth Hospital, Gleneagles Hospital serta Community Isolation Facility di D’Resort NTUC.

Singapura semalam melaporkan satu lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah maut akibat penyakit itu mencecah enam.

Hingga jam 12 tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan Singapura telah mengenal pasti 16,910 kontak rapat yang dikuarantin.

SUMBER – BERNAMA

Tinggalkan komen anda