TERDAPAT penurunan bilangan tangkapan buat kali pertama pada hari Jumaat apabila hanya 413 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
“Penurunan ini adalah 21.18% berbanding penangkapan yang dibuat pada hari Khamis apabila 524 individu ditahan. Kami berharap pola ini dapat diteruskan setiap hari,” kata Ismail petang ini semasa sidang akhbar hariannya di Putrajaya.
Ismail kemudian mendedahkan bahawa setakat ini 380 orang telah ditahan reman dengan 362 orang didakwa di mahkamah sementara 33 yang lain telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kita boleh katakan penurunan hari ini sebagai tanda bahawa pematuhan orang awam (terhadap PKP) telah meningkat,” katanya.
Sementara itu Ismail mengatakan bahawa polis telah membuka 184 kertas siasatan berhubung berita palsu yang menyaksikan 20 kes telah dibawa ke mahkamah.
Antara berita palsu yang disiasat termasuk dakwaan bahawa rakyat Malaysia yang tiba dari luar negara dibawa masuk ke dalam sebuah trak penjara untuk dihantar ke pusat kuarantin.
“Semalam dikatakan bahawa rakyat Malaysia yang tiba di lapangan terbang dibawa dengan sebuah trak penjara untuk dihantar ke pusat kuarantin. Ini tidak benar.
“Mereka dibawa dengan bas dan barang-barang mereka dibawa menggunakan trak. Ini adalah berita palsu.
“Pada masa seperti ini, orang masih menyebarkan maklumat palsu dan ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya.
Kes jangkitan Covid-19 meningkat sebanyak 217 kes semalam, dengan 41 pelajar ujian tahfiz didapati positif, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 3,333 kes.
Tiga lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu, mencatat jumlah keseluruhan sebanyak 53 korban jiwa.
Daripada kes yang didapati positif, 108 daripada mereka kini sedang dirawat di unit rawatan rapi, dan 54 orang daripada mereka memerlukan sokongan pernafasan.
Sejumlah 60 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah kesleuruhan pesakit yang pulih kepada 827 orang.
Tinggalkan komen anda