Siap sedia dengan kebiasaan baharu, kata Muhyiddin


shadow

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin meminta rakyat bersiap sedia untuk mengharungi kehidupan dengan “kebiasaan baharu”, selepas pandemik Covid-19 yang menular ke serata dunia sejak lebih 100 hari lalu meruntuhkan kebiasaan cara hidup sebelumnya.

Muhyiddin mengingatkan rakyat agar membiasakan diri untuk mengubah beberapa kebiasaan lama kerana kehidupan selepas ini sudah tidak lagi sama seperti dahulu.

“Kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal”
atau kebiasaan baharu.

“Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi,” katanya dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung melalui televisyen hari ini.

Muhyiddin memberikan contoh berjabat tangan yang sebelum ini biasa dilakukan apabila berjumpa tetapi sekarang tidak dibuat bagi mengelakkan jangkitan virus.

“Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu,” katanya.

Muhyiddin juga memberi contoh kebiasaan baharu seperti kerap membasuh tangan dan memakai topeng muka.

“Banyak lagi contoh-contoh lain yang tak perlu saya sebut kerana saya fikir saudara-saudari faham maksud kebiasaan baharu yang mesti kita amalkan dalam menjalani kehidupan seharian untuk tempoh yang mendatang,” katanya.

Raya tidak balik kampung

Kepada umat Islam, Muhyiddin meminta mereka menghadapi realiti bahawa Ramadan yang bakal tiba dan sambutan hari raya selepas itu tidak lagi sama seperti dahulu.

“Kita tidak boleh ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawih lah di rumah bersama keluarga.

“Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.

“Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi,” katanya.

Putrajaya sebelum ini mengumumkan tiada kelulusan untuk bazar Ramadan sekiranya PKP masih berjalan.

Ramadan dijadual bermula pada 24 April ini.

Ucapan khas Muhyiddin hari ini mengumumkan lanjutan tempoh perintah kawalan pergerakan untuk 14 hari lagi iaitu dari 15 hingga 28 April.

Katanya, lanjutan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan dan pakar, serta selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Muhyiddin juga meminta rakyat bersiap sedia untuk menghadapi cara hidup seperti sekarang ini untuk satu tempoh yang lama.

Tinggalkan komen anda