Seorang lelaki temui mayat bayi dalam beg plastik


shadow

KUALA LUMPUR – Mayat bayi perempuan baru dilahirkan ditemui seorang lelaki dalam beg plastik di tepi jalan berhampiran gerai minuman di Bukit Dinding di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, mayat bayi terbabit ditemui seorang lelaki yang melalui tempat kejadian selepas terlihat satu pasangan meninggalkan beg plastik di lokasi berkenaan kira-kira jam 9.40 pagi.

“Lelaki terbabit yang berasa curiga dengan kandungan beg plastik berkenaan kemudian memeriksa kandungannya sebelum mendapati terdapat mayat bayi perempuan, bayi cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan,” katanya.

Beliau berkata, saksi terbabit kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Tinggalkan komen anda