Semakan semula kes bunuh Altantuya ditangguh


shadow

PERBICARAAN terhadap bekas komando polis Azilah Hadri untuk permohonan semak semula bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman mati kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang dijadual hari ini di Mahkamah Persekutuan telah dikosongkan.

Timbalan Pendakwaraya Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Peguam Negara menerima satu notis daripada mahkamah berkenaan bertarikh 14 April memaklumkan bahawa perbicaraan itu ditangguhkan dan satu tarikh baharu akan ditetapkan kemudian.

Peguam Azilah, J. Kuldeep Kumar, ketika dihubungi juga mengesahkan menerima emel daripada mahkamah berkenaan memaklumkan perbicaraan semak semula itu telah dikosongkan.

Pada Disember tahun lepas, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar semak semula kes Azilah. Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 28 April.

Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar hari ini, semak semula Azilah serta permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mencelah dalam semak semula kes Azilah.

Azilah, yang pada masa sekarang menunggu untuk menjalani hukuman mati di Penjara Kajang, mengemukakan permohonan semak semula kesnya pada 5 Disember tahun lepas beserta deklarasi akuan berkanun setebal 32 muka surat yang beliau dakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada bekas perdana menteri berkenaan (Najib), yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri.

Azilah, 43, memohon untuk mengetepikan kesalahan dan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 dan satu arahan untuk perbicaraan semula.

Pada Disember tahun lepas, peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu media bahawa anak guamnya, Najib telah menafikan segalanya yang didakwa oleh Azilah.

Azilah dan Sirul Azhar Umar, 47, didiapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pembunuhan Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam, 19 Okt dan 1.00 pagi hari berikutnya pada 2006.

Mereka bagaimanapun dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 yang membenarkan mereka membuat rayuan untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap mereka.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan, membatalkan pembebasan kedua-dua polis komando itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah terhadap kesalahan itu.– Bernama

Tinggalkan komen anda