Rayuan 16 bekas ahli Umno kekal didengar 15 Mei ini


shadow

TARIKH pendengaran di Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan 16 bekas ahli Umno membabitkan permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan parti itu dikekalkan pada 5 Mei.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili kumpulan itu, bagaimanapun berkata sama ada pendengaran tersebut akan diteruskan atau sebaliknya pada 5 Mei bergantung kepada sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan atau tidak.

Fasa ketiga PKP berakhir pada 28 April ini. 

Mohamed Haniff Khatri berkata jika PKP tidak dilanjutkan, pendengaran kes itu dijangka diteruskan pada tarikh tersebut.

Beliau berkata mahkamah turut melanjutkan tarikh akhir sehingga 30 April ini untuk kedua-dua pihak memfailkan hujah masing-masing.

Mohamed Haniff Khatri berkata tarikh pendengaran itu telah ditetapkan mahkamah pada November tahun lepas dan pengurusan kes dikendalikan melalui E-Semakan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Sakinah Mohamad Pauzi.

Kesemua bekas ahli Umno terbabit telah diberikan kebenaran pada Februari tahun lepas untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kesahihan parti politik itu.

Dua persoalan undang-undang telah dikemukakan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bekas ahli Umno terbabit ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman, kesemua 16 bekas ahli Umno itu memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) seperti yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018 dalam memberikan Umno pelanjutan tempoh untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019, yang melepasi tempoh maksimum.

Mereka selanjutnya memohon perintah mandamus untuk mendesak RoS membubarkan sementara Umno dan bagi RoS menggantung semua aktiviti Umno sehingga selesai semakan kehakiman itu.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa Umno merupakan parti yang tidak sah berkuat kuasa 20 April 2018.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan kumpulan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan RoS. 

Mereka kalah dalam rayuan berhubung perkara itu, yang ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 5 Nov tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Kamaludin Mohd Said (kini Hakim  Mahkamah Rayuan) menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman atas alasan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan menetapkan bahawa seseorang ahli parti tidak boleh membawa pertikaian berkaitan parti ke mahkamah. – Bernama

Tinggalkan komen anda